KUCHING, 2 Dis: Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berharap Sarawak diberikan empat jawatan menteri dalam Kabinet Persekutuan yang akan diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim petang ini.
Walaupun mengetahui jumlah jemaah menteri akan dikurangkan, beliau berkata harapan itu adalah sejajar dengan kenyataan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Khamis.
“Untuk menubuhkan sebuah kabinet yang dapat memberi kepuasan kepada parti-parti yang terlibat dalam membentuk Kerajaan Perpaduan, itu adalah satu tanggungjawab yang amat berat sekali.
“Saya masih berharap Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak lupa dengan harapan pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya pada sidang media sempena Pertandingan Kaligrafi Arab dan Kaligrafi Cina Peringkat Kebangsaan 2022 di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata senarai penuh barisan Kabinet telah diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pagi tadi untuk perkenan agar lantikan segera dapat dilaksanakan.
“Pilihan kita terbatas kerana seperti saya umum sebelum ini, kita tidak mahu terlalu ramai menteri atau duta bertaraf menteri supaya perbelanjaan dapat dikurangkan,” katanya. – TVS