KUCHING, 1 Dis: Kerajaan Sarawak meneruskan inisiatif menyediakan pinjaman kadar faedah serendah empat peratus bagi menyokong pertumbuhan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negeri ini, kata Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Beliau yang juga Timbalan Premier Sarawak berkata, ini bagi memastikan supaya sumbangan PKS dapat terus dipertingkatkan melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif oleh kerajaan negeri serta Kerajaan Persekutuan.
“Pinjaman berkenaan akan disediakan berdasarkan baki pengurangan bulanan melalui Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS) dan Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS).
“Sehingga kini, sejumlah RM76.06 juta telah diagihkan yang memanfaatkan 1,965 PKS,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan berkata, peruntukan yang disediakan Kerajaan Sarawak itu turut memanfaatkan seramai 437 usahawan B40.
“Mereka menikmati pinjaman tanpa faedah sehingga maksimum RM10,000 bagi setiap pemohon.
“Jumlah pinjaman yang diluluskan untuk usahawan B40 berjumlah RM2.8 juta,” katanya. -TVS