KUCHING, 1 Dis: Sebanyak lima projek taman perindustrian di Sarawak berjaya disiapkan oleh kerajaan negeri bagi memacu industri pembuatan ke tahap yang lebih tinggi, kata Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Beliau yang juga Timbalan Premier Sarawak berkata, kesemua taman perindustrian itu terletak di Kapit, Demak Laut (Fasa 2B), Betong (Fasa 1), Sri Aman dan Sematan (Fasa 1).
Katanya, projek-projek itu termasuk dalam perancangan penubuhan 23 taman perindustrian, 22 anjung usahawan dan tiga pusat pemprosesan dengan kos keseluruhan sebanyak RM230.4 juta.
“Setakat ini sebanyak 10 projek juga sedang dalam pembinaan dengan empat taman perindustrian di Bau, Sibu, Rantau Panjang dan Samalaju SME Cluster.
“Enam anjung usahawan pula di Sematan, Telok Melano, Gedong, Lawas, Sundar dan Kuala Lawas,” katanya dalam ucapan penggulungan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.
Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan Sarawak menambah, projek juga melibatkan 14 taman perindustrian di Kuching, Sebuyau, Meradong, Dalat, Song, Marudi, Long Lama, Limbang dan Lawas.
“Bagi 16 anjung usahawan pula, pembinaannya di Simunjan, Lubok Antu, Debak, Kampung Bungin, Kabong, Pakan, Meradong, Dalat, Daro, Balingian, Song, Bekenu, Beraya, Long Lama, Limbang dan Trusan,”katanya.
Sidang DUN turut dimaklumkan yang pembinaan pusat pemprosesan juga sedang dikenal pasti di Punang dan Awat-Awat. – TVS