KUCHING, 1 Dis: Lebih 100 pemain dari seluruh Malaysia dijangka akan bersaing merebut Piala Abang Jo 2022 pada 2 hingga 4 Disember di gelanggang Persatuan Badminton Sarawak (SBA) di Jalan Lapangan Terbang di sini.
Sehubungan itu, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah memuji usaha SBA atas penganjuran itu yang bertujuan mencungkil dan mengasah kemahiran atlet.
“Apabila mereka bermain menentang satu sama lain, mereka akan tahu kedudukan mereka dan bagaimana mereka berdepan pesaing mereka. Kami mahu atlet meningkatkan kemahiran sukan mereka daripada jaguh kampung kepada jaguh dunia.
“Dari situ kita boleh lihat potensi mereka untuk mendapat latihan dan menyertai pertandingan lain supaya dapat mewakili Sarawak dan Malaysia pada masa akan datang,” katanya pada sidang media di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Gerald Rentap Jabu, Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Kemajuan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail dan setiausaha tetap SBA Ting Ching Zung.
Abdul Karim berkata badminton merupakan sukan yang berpotensi berkembang lebih jauh dan Sarawak memenangi pingat gangsa dalam acara beregu campuran pada Sukma 2022 selepas 20 tahun yang lalu.
“Lebih-lebih lagi enam atlet kita diiktiraf BAM (Persatuan Badminton Malaysia) dengan tiga telah diserapkan ke dalam program pembangunan negara,” katanya.
Mengenai kejohanan Piala Abang Jo, Abdul Karim berkata ia terbuka kepada semua rakyat Malaysia dan pertandingan itu akan menggunakan format serupa dengan Piala Thomas dan menawarkan hadiah wang berjumlah RM20,000.00. Hadiah pertama adalah RM10,000.00.
Para pemain akan bersaing dalam lima kategori yang terdiri daripada tiga perseorangan untuk lelaki bawah 18, lelaki bawah 16 dan lelaki bawah 14 dan dua beregu untuk lelaki bawah 18 dan lelaki bawah 16.
“Pertandingan julung kali ini adalah untuk lelaki sahaja tetapi SBA merancang untuk mengadakan lebih banyak pertandingan pada tahun depan untuk kedua-dua lelaki dan perempuan yang menggunakan format Piala Uber,” jelasnya.
Abdul Karim berkata Sarawak dijangka menghantar empat pasukan dalam piala tersebut.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan menyempurnakan majlis penutupan dan menyampaikan hadiah pada 4 Disember. – TVS