KUCHING, 1 Dis: Rata-rata peserta separuh akhir kedua Getaran Jiwa akan menampilkan sesuatu persembahan mereka di luar zon keselesaan mereka untuk mencuba nasib melangkah ke peringkat akhir nanti.
“Sesuatu kelainan apa yang kita selalu dengar” adalah ungkapan yang disebut oleh para peserta apabila ditemui oleh TVS pada Rabu malam ketika sesi sound check di Stadium MBKS, Bintawa.
Samdean yang merupakan peserta tunggal mewakili Kelab Peminat P. Ramlee Sarawak (KPPRS) itu berkata bukan mudah untuk membawakan lagu yang susah untuk ditukar kerana lagu asalnya sudahpun sedap didendangkan.
“Untuk peringkat separuh akhir ini saya akan mendendangkan sebuah lagu daripada filem ‘Ali Baba Bujang Lapok’ namun dengan ‘twist’ yang tersendiri.
“Lagu itu agak berat untuk dipersembahkan kerana susah untuk menggubah lagu itu kepada sesuatu yang berlainan,” katanya.
Bagi Akeem Hidayat pula, dia telah bersedia dari segi fizikal dan mental untuk dipersembahkan nanti kerana melibatkan penggunaan vokal yang besar dan bertenaga.
“Yang paling penting, fizikal tubuh badan dan mental saya mesti sihat kerana penggunaan vokal untuk menarik sesebuah lagu itu amat diperlukan.
“Konsep persembahan pada minggu ini memang berlainan pada minggu saya sebelum ini kerana tenaga yang kuat amat diperlukan untuk membawa genre rock itu nanti,” katanya.
Menurut Suili George, dia mahu mencabar dirinya dengan membawa genre yang berlainan dari minggu sebelumnya ketika dia mempersembahkan lagu ‘Malam Ku Bermimpi’ dengan genre Jazz.
Apabila ditanya mengenai kehadiran Mas Idayu sebagai ‘Mami Jiwa Panas’ di pentas separuh akhir Getaran Jiwa, rata-rata daripada mereka tidak berasa takut. Malah, memuji beliau sebagai salah seorang artis dan juri yang mempunyai telinga yang peka dan teliti.
“Kehadiran Mami Jiwa Panas di Getaran Jiwa ini tidak dapat dinafikan berasa sedikit gelisah dan takut kerana beliau adalah seorang yang sangat teliti dalam mengadili dan mengkritik sesuatu persembahan,” kata Afif Tenor yang tidak sabar untuk menonjolkan kebolehannya di hadapan beliau.
Seorang lagi peserta, Aruel Ariel mengakui Mas Idayu amat dikenali dengan kritikan yang sangat pedas namun beliau juga mempunyai telinga yang sangat peka.
“Takut jugaklah nanti apabila saya terkantoi atau melakukan kesilapan ketika membuat persembahan di atas pentas nanti.
“Namun, saya berharap agar saya boleh menjalankan tugas sebaik yang mungkin untuk memenangkan hati para juri terutamanya Mas Idayu,” katanya yang bakal mendendangkan lagu bergenre rancak nanti.
Lima peserta akan merebut dua slot terakhir ke peringkat akhir getaran jiwa dan pada masa yang sama dua peserta yang tersingkir akan kembali semula ke pentas sebagai ‘GJ Kembali.’
Erra Fazira akan menjadi penyeri pada minggu ini sebagai Juri Jemputan yang akan diadili bersama dengan Dato Nash dan Norafizah Busman selaku Juri Tetap serta Mami Jiwa Panas iaitu Mas Idayu.
Saksikan Getaran Jiwa Separuh Akhir Kedua pada Jumaat ini, jam 8:45 malam di TVS saluran 122 Astro dan MYTY atau saksikannya secara langsung di Stadium MBKS Bintawa, Kuching di mana pintu akan dibuka seawal jam 7 malam. – TVS