KUCHING, 1 Dis: Seorang gadis berumur 18 tahun merupakan antara dua individu ditahan oleh polis kerana disyaki menjadi bookie pertaruhan keputusan bola sepak Piala Dunia semalam.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, gadis itu ditahan dalam serbuan di sebuah kedai makan di Matang Jaya, di sini kira-kira pukul 3.45 petang.
Katanya, polis merampas dua buah telefon bimbit, empat keping kertas jadual perlawanan bola sepak Piala Dunia 2022 dan wang tunai berjumlah RM420 menerusi serbuan berkenaan.
“Serbuan seterusnya kira – kira sejam kemudian di sebuah gerai menjual buah – buahan di kawasan berhampiran pula berjaya menahan seorang lelaki berumur 24 tahun yang turut disyaki terlibat dalam kegiatan pertaruhan berkenaan,”katanya.
Katanya, polis merampas dua buah telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM540.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 dan Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,”katanya. -TVS