Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pengiktirafan Sarawak Delta Geopark (SDGp) sebagai Geopark Kebangsaan yang keenam merupakan pengiktirafan polisi pengurusan mampan oleh Kerajaan Sarawak. Foto Firdaus Ismail (TVS).

DUN Sarawak: Pengiktirafan SDGp bukti pengurusan mampan dilaksana Sarawak

KUCHING, 1 Dis: Pengiktirafan Sarawak Delta Geopark (SDGp) sebagai Geopark Kebangsaan yang keenam merupakan pengiktirafan kepada pengurusan mampan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak, kata Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau yang juga Timbalan Premier Sarawak berkata, SDGp yang berkeluasan 3,112 kilometer (km) persegi merupakan taman geopark pertama yang diiktiraf di Sarawak.

“Pengiktirafan berkenaan juga merupakan satu pencapaian kepada Kerajaan Sarawak dalam usaha pemeliharaan kelestarian alam semula jadi dan pengurusan mampan kawasan yang memiliki nilai geotapak yang tinggi.

“Ini berteraskan tiga aspek utama iaitu warisan geologi, biologi dan budaya,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II Sarawak berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Pada September lepas, SDGp dimasyurkan sebagai Geopark Kebangsaan sekaligus meletakkannya sebaris dengan Geopark Lembah Kinta dan Geopark Lenggong (Perak), Geopark Jerai di Kedah, Geopark Kinabalu (Sabah) dan Geopark Labuan di Wilayah Persekutuan Labuan.

Sementara itu, Awang Tengah turut memberi jaminan yang pengiktirafan berkenaan tidak akan mengubah dasar pembangunan sedia ada malahan turut membangunkan sosioekonomi penduduk melalui geopelancongan.

“Inisiatif geopelancongan juga akan mengintegrasikan usaha pemuliharaan bagi sumber semula jadi dan warisan budaya.

“Pengiktirafan SDGp juga dapat digunakan sebagai jenama dalam mempromosi kawasan berkenaan sebagai destinasi pelancongan yang memberi manfaat kepada komuniti setempat,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan