MUKAH, 29 Nov: Semua gereja Kristian di Mukah akan menyertai perarakan pada 10 DIsember ini di Astaka Dataran Menara Pehin Setiaraja.
Perarakan anjuran All Churches of Sarawak (ACS) Cawangan Mukah dijangka bermula jam 6 petang akan disertai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine.
Menurut, Pengerusi Pengelola Richard Revis Jinmin, objektif perarakan besar-besaran sempena Krismas tersebut adalah sebagai satu simbolik yang menandakan sambutan Hari Krismas serta meraikan pengganut Kristian melalui gabungan gereja-gereja yang menjadi ahli ACS dari seluruh Mukah dan Dalat yang akan turut serta.
“Sepertimana tema perarakan iaitu “Unity in Christ” ia akan membawa maksud perpaduan dan penyatuan umat-umat Kristian tidak kira apa jua mahzab dianuti di dalamnya dan tujuannya adalah sama iaitu demi Kristus.
“Perarakan seperti ini pernah dianjurkan oleh ACS kira-kira tiga hingga empat tahun yang lepas tetapi oleh sebab tertentu ia tidak dapat diadakan dalam dua atau tiga tahun ini, lebih-lebih lagi semasa pandemik Covid-19 aktiviti seperti ini agak mustahil untuk dilaksanakan,” jelasnya.
Beliau turut berharap agar perarakan yang akan diadakan pada tahun ini, berjaya dan berjalan lancar serta program seperti ini dapat menyatukan gereja-gereja yang ada di Mukah.
“Demi untuk Kristus dengan kerjasama yang erat supaya dapat menjadi cerminan kasih Kristus dan gambaran perpaduan kaum yang ada di Mukah khususnya di Sarawak amnya.
“Kepada semua peserta dan masyarakat yang akan turut serta nanti kita harap mereka sentiasa menjaga kebersihan, jaga jarak dan sentiasa memakai pelitup muka dan sekiranya berada dalam keadaan tidak sihat, atau mengalami simptom Covid-19 diingatkan agar mereka tidak menyertai perarakan ini,” tegasnya.
Perarakan dijangka akan dimulakan pada jam 7.30 petang di Dataran Pehin Setiaraja, seterusnya melalui Ah Soon Corner, melalui kawasan Taman Boulevard Setia Raja, seterusnya melalui kawasan Agro Bank Mukah, melalui Pejabat Buruh dan kembali ke Dataran Pehin Setiaraja.
Sehingga kini ACS Cawangan Mukah dianggotai oleh ketua gereja-gereja dari pelbagai gereja yang ada di Mukah seperti Mukah Baptist Church, Borneo Evangelical Mission, Roman Catholic Church dan Methodist Church, antara gereja lain yang dijemput untuk turut serta dalam perarakan ialah Gereja 611 Bread of Life. – TVS