KUALA LUMPUR, 30 Nov: Apa yang menimpa Suzana Othman, seorang ibu berusia 53 tahun ini mungkin juga nasib yang dialami ramai orang khususnya wanita.
Pada tahun 2019, Suzana mula menghidap batuk berterusan dan keadaan ini amat menyiksa kehidupannya. Setiap kali bercakap, beliau akan batuk dan ini mengganggu pertuturannya. Acap kali juga beliau terpaksa berhenti bercakap untuk mengambil nafas.
Agak pelik bila memikirkan apakah punca batuk yang begitu teruk memandangkan beliau bukan seorang perokok. Ada yang berfikir mungkinkah bau cat baru di dinding rumah Suzana mengganggu paru-parunya atau apakah beliau menghidap pneumonia. Walau apa pun tanggapan, Suzana berasa sungguh tertekan dan berdoa agar penyakit batuknya berhenti segera.
“Dalam mulut ibu mesti ada strepsil,” kata anak Suzana, Syahzanani Salim, 25.
Suzana masih tidak menganggap perkara buruk tentang batuknya sehinggalah suatu hari, selepas batuk berterusan yang teruk, Suzana melihat kahak berwarna coklat.
“Ada sedikit darah dalam kahak tu. Meskipun saya ambil ubat batuk, masih ada sedikit darah. Kalau banyak sangat batuk, baru nampak macam darah,” katanya kepada Bernama yang menemu bual beliau di hospital.
Apabila keadaan batuk menjadi lebih teruk dan beliau kehilangan berat badan yang banyak (sekitar 10kg dalam tempoh enam bulan), Suzana berjumpa doktor dan menjalani banyak ujian termasuk melakukan X-ray.
Pada Januari 2021, Suzana disahkan menghidap kanser paru-paru. Sudah tentunya Suzana terperanjat apabila dimaklumkan oleh doktor bahawa beliau menghidap kanser. Beliau bagaimanapun menjangkakan kanser payudara kerana ibunya meninggal dunia akibat penyakit berkenaan.
Meskipun suami Suzana seorang perokok sepanjang tempoh 27 tahun perkahwinan mereka, bagaimana Suzana yang tidak merokok seumur hidupnya boleh diserang kanser paru-paru?
Sememangnya soalan yang begini membuatkan para doktor yang mengendalikan pesakit kanser paru-paru sukar untuk menjawabnya.
KANSER DALAM MEREKA YANG TIDAK PERNAH MEROKOK
Menghisap rokok adalah penyumbang utama kanser paru-paru dan penyakit ini adalah paling biasa dalam kalangan kaum lelaki Malaysia dan dilaporkan, sekitar 41 peratus lelaki Malaysia merokok. Namun merokok bukan sahaja punca utama kanser paru-paru.
Faktor risiko persekitaran seperti perokok pasif, terdedah kepada radon (gas radioaktif) serta pencemaran udara diketahui sebagai punca kanser dalam kalangan bukan perokok atau tidak pernah merokok.
“Secara tradisinya, kanser paru-paru adalah penyakit yang selalu menyerang kaum lelaki. Sewaktu saya di sekolah perubatan, kami selalu menyamakan kanser paru-paru dengan lelaki dan perokok, ” kata Dr Anand Sachithanandan, Presiden Jaringan Kanser Paru-Paru Malaysia (LCNM).
“Sekarang, penyakit ini mula meningkat dalam kalangan bukan perokok. Memang mencemaskan. Bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia. Ramai yang bingung memikirkan keadaan ini,” tambahnya.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyenaraikan pencemaran udara sebagai satu lagi punca kanser paru-paru pada tahun 2013.
Di Amerika Syarikat, pencemaran udara di Amerika Syarikat dilaporkan penyebab sekitar satu hingga dua peratus kes kanser paru-paru.
Pada bulan September 2022, para penyelidik mendapati pencemaran udara menyebabkan kanser paru-paru dengan menyebabkan mutasi dalam gen yang dikaitkan dengan kanser paru-paru, yang dipanggil EGFR. (didapati dalam separuh bilangan pesakit kanser paru-paru dalam kalangan bukan perokok) dan KRAS.
Menurut US Centers for Disease Control, untuk bukan perokok, kes kanser paru-paru adalah antara 10 hingga 20 peratus daripada jumlah pesakit kanser paru-paru pada tahun 2021 berbanding lapan peratus pada 2017.
Bagaimanapun, tidak ada angka tertentu untuk pesakit kanser paru-paru akibat tabiat merokok, di Malaysia.
Dr Anand menganggarkan, hampir satu pertiga pesakit kanser di negara ini tidak pernah merokok, sambil berkongsi bukti anekdot.
Berdasarkan perangkaan hasil Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019, di Malaysia, didapati kanser paru-paru adalah kanser nombor lima paling biasa dalam kalangan wanita di negara ini meskipun hanya 1.1 peratus wanita merokok
Sementara itu, kajian Malaysia, Malaysian Study on Cancer Survival 2018, kes kanser paru-paru yang melibatkan wanita adalah sebanyak 2,478 meskipun kadar penggunaan tembakau dalam kalangan mereka adalah kecil. Jumlah berkenaan adalah separuh daripada jumlah pesakit kanser paru-paru lelaki iaitu 5,543.
Kajian berkenaan juga mendapati wanita bukan perokok yang kemudiannya menghidapi kanser paru-paru adalah lebih muda usianya.
Perunding Pakar Onkologi Klinikal Hospital Kuala Lumpur, Dr Vaishnavi Jeyasingam memberitahu Bernama, asap rokok terpakai mungkin penyebab kes kanser paru-paru berkenaan tetapi tidak dapat dipastikan.
Berbanding di Amerika Syarikat, Malaysia tidak mempunyai kajian yang dapat menunjukkan secara tepat apakah faktor persekitaran paling mempunyai kesan yang memudaratkan terhadap bukan perokok.
“Masalah dengan perokok pasif adalah dari segi menentukan sejauh mana lama pendedahan dan jarak kontak dan kajian mengenai perokok pasif dan penyebab kanser tidaklah sehebat kajian terhadap perokok dan puncanya, ” katanya.
Selain faktor semasa, para pakar tidak dapat memastikan sama ada kes kanser paru-paru akan meningkat pada masa depan akibat pandemik COVID-19, meskipun Dr Anand berkata beliau tidak akan terkejut seandainya ia akan berlaku selepas tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang.
“Sebarang keadaan yang menyebabkan keradangan paru-paru, mungkin berikutnya akan meninggalkan parut dan kita tidak tahu kesan jangka panjang. Mungkin juga parut tisu paru-paru meningkatkan risiko kanser paru-paru, ” katanya, menambah, penyakit batuk kering atau tuberkulosis meningkatkan risiko seseorang itu mendapat kanser paru-paru.
JALANI SARINGAN
Menyentuh tentang penyakit tidak berjangkit (NCD), amalan terbaik yang disyorkan ialah membuat saringan sama ada untuk mencegah atau mengesannya lebih awal agar dapat merawatnya. Dengan kanser, tahap penyakit apabila dikesan menentukan kadar kejayaan rawatan.
Namun ia amat berbeza dengan kanser paru-paru seperti kata Dr Vaishnavi, membuat saringan adalah tidak kos efektif kerana ia memerlukan akses kepada imbasan CT dan itu pun boleh memberi hasil positif palsu.
“Di negara kita, malangnya, kita melihat majoriti pesakit didiagnos pada Tahap IV kerana pada tahap itulah mereka lazimnya simptomatik, atau mereka batuk dan hilang berat badan, ” katanya.
Menurut beliau, sekiranya seseorang itu datang berjumpa doktor dengan kanser paru-parunya di peringkat awal, sering itu berlaku secara tidak sengaja atau kerana mereka menjalani saringan seluruh badan menerusi tempat kerja mereka.
Mengambil contoh kes Suzana, yang bukan perokok dan tinggal dengan perokok, lagi sukar untuk mengesan kanser dari awal.
Para doktor berkata, saringan untuk kanser paru-paru dibuat bagi seseorang yang perokok tegar, berusia 40 tahun ke atas dan mempunyai sejarah keluarga menghidap kanser paru-paru.
Bagaimana, mereka yang tidak memenuhi ciri-ciri di atas masih boleh melakukan saringan kanser paru-paru atau menjalani pemeriksaan seluruh badan. Orang ramai turut disaran agar lebih proaktif dalam menjaga kesihatan mereka.
Sekiranya kos pemeriksaan menjadi isu, banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perubatan dan pertubuhan menyediakan program saringan percuma atau mampu bayar untuk orang ramai.
Jaringan Kanser Paru-paru, baru-baru ini bekerjasama dengan Astra Zeneca dan Qualitas Medical Group untuk menyediakan saringan kanser paru-paru percuma. Ia menggunakan Artificial Intelligence t untuk meramalkan nodul kanser paru-paru daripada X-ray.
Bagaimanapun, program ini mendapat sambutan dingin daripada orang ramai.
“Ramai orang sekali sahaja buat X-ray dan anggaran dua hingga tiga peratus akan mempunyai hasil tidak normal, yang mungkin atau mungkin bukan, kanser paru-paru. Kesukaran kami adalah untuk mendapatkan mereka melakukan pemeriksaan lanjutan,” kata Dr Anand.
Di sebalik program yang ada, para pakar bersependapat bahawa rakyat Malaysia masih lemah daripada segi menjaga kesihatan seperti membuat saringan. Dalam hal ini, langkah terbaik adalah untuk mencegah.
PENCEGAHAN PENYEMBUHAN TERBAIK
Pencegahan itu adalah penyembuhan terbaik namun masih sukar untuk menyakinkan rakyat Malaysia supaya jangan merokok.
Di sebalik semua usaha kerajaan dan NGO untuk menyekat tabiat merokok serta membantu perokok untuk menghentikan tabiat berkenaan, kadar merokok masih belum berkurangan seperti yang diharapkan.
Menurut laporan 2020 Malaysia kepada perjanjian kesihatan awam WHO iaitu Framework Convention on Tobacco Control (FCTC), kadar merokok berkurangan kepada 21.3 peratus pada tahun 2019 dari 22.8 peratus pada tahun 2015.
Oleh yang demikian, ramai kakitangan penjagaan kesihatan menyokong Pengharaman Tembakau yang dicetuskan oleh bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar. Mereka berpandangan bahawa usaha langkah berkenaan adalah harapan terbaik untuk mengurangkan berlakunya kes kanser dan penyakit lain yang ada kaitan dengan asap tembakau.
Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 bertujuan melindungi generasi muda daripada terjebak dengan tabiat merokok, selain mengurangkan kematian akibat penyakit berkait rokok.
Peruntukan itu adalah melarang pembelian dan penjualan produk tembakau atau e-rokok kepada mana-mana individu yang lahir pada dan selepas 1 Januari 2007, serta keperluan pendaftaran produk merokok.
Para doktor yang ditemu bual Bernama berharap kerajaan baharu di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus memperjuangkan RUU berkenaan, dengan menyatakan hasil cukai tidak mencukupi untuk menampung kos penjagaan kesihatan daripada penggunaan tembakau.
“Kami yang dalam bidang onkologi ini, kami melihat sendiri kesan tembakau. Bukan sahaja kanser, masalah jantung, angin ahmar …. sistem penjagaan kesihatan kita juga menghabiskan banyak masa untuk merawat penyakit yang sebenarnya boleh dielakkan,” kata Dr Vaishnavi.
“Sekiranya Singapura dapat melaksanakan pengharaman gula getah, tembakau itu mempunyai implikasi kesihatan yang lebih teruk,” tambahnya.
Sekiranya semua usaha gagal, masih ada satu perkara yang mungkin melegakan sedikit iaitu kanser paru-paru bukan lagi secara automatik hukuman mati. Kaedah rawatan semakin baik yang mampu memanjangkan nyawa pesakit sehingga beberapa bulan lagi lamanya.
Menurut Dr Anand, sebahagian daripada kejayaan itu bermakna para doktor boleh menyusun rawatan yang diperlukan oleh seseorang pesakit, bergantung kepada kes serta ketersediaan ubat-ubatan.
“Anda mungkin mati dengan kanser tetapi bukan kerananya,” tambahnya.
Kata-kata Dr Anand ini memberi semangat kepada Suzana kerana penyakit kanser paru-parunya kini di Tahap IV. Beliau berharap agar dapat menunaikan ibadah umrah dengan keluarganya pada bulan Februari 2023. Sehingga waktu itu, Suzana berasa syukur kerana masih mampu menikmati kehidupan dengan keluarganya.
“Jaga diri anda baik-baik. Jangan biarkan ada orang merokok di sekitar anda. Pergi buat pemeriksaan. Kesan awal terutamanya jika anda tinggal dengan perokok, ” katanya dengan nada suara yang lembut. -TVS