Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika berucap di Acara Perniagaan Ketiga Tribal Meet (Perhimpunan TriBE) hari ini. Foto: Regina Lee (TVS)

Sarawak sasar anjur 1,245 acara perniagaan menjelang 2030

KUCHING, 30 Nov: Sarawak menyasarkan untuk menganjurkan sebanyak 1,245 acara perniagaan menjelang 2030, kata Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak berkata, ke arah itu kerajaan negeri akan melaksanakan langkah seterusnya dengan memberi penekanan terhadap impak warisan dan kemampanan sektor berkenaan.

Kata beliau, penerokaan potensi penganjuran acara penting kerana ia merupakan sebahagian daripada Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang digariskan oleh Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Ini penting untuk mencapai aspirasi kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.

“Kementerian berikrar untuk memacu perkembangan positif komuniti, ekonomi dan alam sekitar daripada acara perniagaan dan mengetuai 300 delegasi daripada TriBE Assembly sebagai duta acara perniagaan Sarawak,” katanya ketika berucap pada Majlis Perniagaan Tribal Meet Kali Ketiga di sini hari ini.

Sebelum ini, Kempen Tribe Legacy Sarawak anjuran Business Event Sarawak (BESarawak) telah menjana RM385.5 juta kepada ekonomi negeri selain berjaya menarik 145 acara perniagaan dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.

Bertemakan ‘Reimagine Our Future’, impak legasi dan kemampanan acara perniagaan menjadi topik utama persidangan dengan menyampaikan mesej betapa Sarawak serius untuk melonjakkan sektor berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif BESarawak, Amelia Roziman berkata, antara usaha untuk menyebar luas sektor itu ialah dengan menggunakan Jurnal Antarabangsa Acara Perniagaan dan Legasi (IJBEL) sebagai platform komunikasi.

“Jurnal itu adalah yang pertama di dunia menggabungkan acara perniagaan dan topik legasi dalam satu tajuk dan yang pertama di Asia Tenggara bagi semua acara perniagaan.

“Penerbitan pertama jurnal berkenaan memberikan pandangan dan pengetahuan yang sangat baik mengenai bagaimana penggiat acara perniagaan global berkembang dan impaknya,” katanya.

Beliau memberitahu, sebanyak 11 kertas kerja telah diterbitkan dan separuh daripadanya melaporkan mengenai usaha legasi dan kelestarian yang telah dimulakan oleh acara dan destinasi masing-masing.

Pada tahun ini, kerajaan negeri berjaya mencapai sasaran apabila sebanyak 94 acara telah dianjurkan berbanding sasaran 90 acara yang telah disasarkan dengan anggaran impak ekonomi sebanyak RM303 juta. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan