SARIKEI, 29 Nov: Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sarikei optimis kapasiti pengeluaran kopi di sini mampu ditingkatkan menerusi kerjasama strategik dengan pihak swasta.
Pengerusi Ahli Jemaah Pengarahnya, Pemanca Ladin Sebang @ Edward berkata, ketika ini seramai 20 pekebun aktif mengusahakan tanaman itu yang melibatkan keluasan kawasan mencecah 20 hektar.
“Kawasan ini terkenal dengan pengeluaran biji kopi Liberica yang berkualiti tinggi dan PPK Sarikei yakin potensinya dapat terus dicungkil,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Pameran Pesta Nanas dan Buah – Buahan 2022, di sini.
Ujar Pemanca Ladin, sebelum ini pihaknya telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Reka Jaya Plantation Sdn. Bhd.
Menerusi MoU berkenaan katanya, syarikat itu akan membeli kopi yang dihasilkan ahli PPK dan seterusnya akan memprosesnya sebagai produk akhir.
“Tempoh MoU yang dipersetujui ialah selama enam bulan dan kemungkinan akan disambung menerusi perjanjian akan datang,” katanya.
Menurutnya, inisiatif berkenaan juga bertujuan untuk menyokong pekebun kopi di Sarikei sekaligus dapat meningkatkan pendapatan mereka. -TVS