KUCHING, 29 Nov: Projek Bintulu-Samalaju Gas Pipeline yang merangkumi saluran paip gas sepanjang 70 kilometer (km) dari Bintulu ke Samalaju Industrial Park dijangka siap pada suku ketiga tahun 2023 dan beroperasi pada penghujung tahun 2025.
Menurut Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi, projek dengan anggaran kos sebanyak RM600 juta ini akan meluaskan pengagihan bekalan gas kepada pengguna di Samalaju Industrial Park, termasuk stesen janakuasa Combined Cycle Gas Turbine (CCGT).
“Manakala inisiatif Pan Sarawak Virtual Pipeline System (VPS), satu projek perintis untuk bandar Kuching sedang dalam peringkat rundingan komersial. Kejayaan projek perintis VPS ini berpotensi memainkan peranan untuk dijadikan penanda aras untuk pelaksanaan projek Pan Sarawak VPS secara keseluruhannya.
“Inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada rakyat Sarawak menikmati kemudahan sumber gas asli dengan harga yang lebih rendah serta menggalakkan pertumbuhan industri kecil dan sederhana,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada sesi penggulungan kementeriannya pada Persidangan Penggal Pertama Dewan Undanga Negeri (DUN) Sarawak di sini, pada Selasa.
Sementara itu, bagi pelaksanaan Sarawak Gas Roadmap (SGR) untuk pembangunan Hub Miri, PETROS telah memeterai perjanjian dengan PETRONAS pada Oktober 2022 bagi pembekalan gas asli hasil keluaran luar pesisir pantai (offshore) Sarawak.
Bekalan gas ini akan digunakan untuk stesen janakuasa CCGT 400MW yang akan dibina bagi mengukuhkan sistem bekalan elektrik di Miri. – TVS