KUCHING, 29 Nov: Sejumlah 16,486 kes telah direkodkan dihadapkan ke Mahkamah Bumiputera Sarawak sehingga 24 November lalu.
Menteri di Jabatan Premier Datuk John Sikie Tayai berkata daripada jumlah itu, sebanyak 10,634 kes atau 64.6 peratus daripada kes yang direkodkan itu telah diselesaikan.
“Mahkamah Bumiputera Sarawak sedang membuat tindakan proaktif dalam menyelesaikan kes tertunggak melalui lantikan Majistret Kontrak bagi membantu mahkamah mempercepatkan urusan berkenaan.
“Tumpuan yang akan diberikan adalah penyelesaian kes melibatkan pertikaian dan pampasan tanah NCR,” katanya ketika dalam perbahasan atas bacaan kali yang kedua Rang Undang-Undang Perbekalan (2023) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, pada Selasa.
Seperti termaktub struktur semasa Mahkamah Bumiputera Sarawak, fungsi dan operasi mahkamah perlulah dilaksanakan oleh Residen dan Pegawai Daerah yang terdiri daripada Majistret ‘ex-officio’ iaitu mereka akan mengetuai kes-kes mahkamah. – TVS