LAHAD DATU, 30 Nov: Dua lelaki warga asing ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas cuba menyeludup minyak masak dan tong gas ke negara jiran di perairan Felda Sahabat di sini.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Nik Mohd Rizam Nik Mohd Fauzi berkata, pihaknya mengesan empat bot dalam keadaan mencurigakan pada 28 Nov lalu kira-kira jam 12.05 tengah malam.
“Dua lelaki masing-masing berusia 30 dan 35 tahun yang bertindak selaku juragan dan pembantu berjaya ditahan manakala suspek lain meloloskan diri ke kawasan bakau berhampiran.
“Pemeriksaan ke atas bot didapati membawa muatan barang runcit dan barang kawalan berjadual iaitu 3,791 kilogram paket minyak masak dan 16 tong gas cecair petroleum (LPG),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Nik Mohd Rizam berkata, menyedari kegiatan mereka dikesan, berlaku adegan kejar mengejar sebelum kesemua bot berkenaan merapat ke daratan terdekat.
Kedua-dua suspek gagal mengemukakan permit serta lesen yang sah berkaitan minyak masak paket dan tong gas yang dibawa.
Kesemua barangan termasuk bot kargo, enjin bot dan muatan barangan, disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM174,611.20.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 Dan Akta Kastam 1967. – TVS