NIAH, 29 Nov: Koperasi Belia Inovatif Sarawak (KOBIS) bersama BIMP-EAGA Young Entrepreneur’s Chamber (BYEC) telah menganjurkan Kenyalang Tourism Booster (KTB) 2022 Niah dengan sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak yang melabuhkan tirainya Ahad lepas.
Tujuan program tersebut adalah untuk meningkatkan industri pelancongan negeri khususnya segmen Sport Tourism, Marine Tourism, Cultural Tourism dan Agro Tourism. Ia juga dianjurkan untuk membangunkan seni tempatan dan membantu usahawan tempatan.
Untuk tahun 2022, program ini diadakan di tiga lokasi iaitu di Kota Samarahan pada 24 September sehingga 25 September, Mukah pada 22 Oktober sehingga 23 Oktober dan Niah pada 26 November sehingga 27 November yang telah dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Aktiviti-aktiviti yang dianjurkan termasuk Forum KTB bagi Pelancongan Agro, gerai pameran, Homestay Socmed Challenge, Persembahan Gendang dan Seni Silat, Karnival Sukan Rakyat, Traditional Homecook Challenge dan Digital Marketing Workshop yang dilakukan secara fizikal dan hybrid selari dengan hashtag Digital, Viritual, Online and Hybrid Community bagi memupuk dan mencetus aura positif dalam kalangan komuniti dan pemain industri.
Pengerusi KOBIS, Zaiwin Kassim berharap agar inisiatif itu mendapat sambutan yang positif dan memberi rangsangan kepada industri pelancongan dan seni secara digital dan hibrid, lebih-lebih lagi dalam pelancongan sukan, marin, eko dan budaya.
Majlis Penutupan Kenyalang Tourism Booster 2022 Niah turut dihadiri Lukanisman Awang Sauni.-TVS