KUCHING, 29 Nov: Sarawak tidak menghadapi masalah kekurangan guru yang kritikal, kata Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Datuk Roland Sagah Wee.
Bagaimanapun, beliau berkata, masih terdapat isu mengenai penempatan guru disebabkan pengkhususan mata pelajaran mengajar atau dikenali sebagai pengajaran pilihan dan perkara berkaitan keluarga.
“Ia adalah satu dasar untuk meletakkan pasangan suami isteri bersama di lokasi yang sama. Kami tidak mahu suami mengajar di Lundu, manakala isteri mengajar di Lawas,” katanya dalam ucapan pada sesi penggulungan kementeriannya pada Persidangan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
Pada masa sama, beliau turut mendedahkan bahawa kementeriannya telah mencapai nisbah 90:10 guru berasal dari Sarawak ke guru yang bukan berasal dari Sarawak.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) atas usaha untuk mencapai nisbah yang telah ditetapkan seperti yang didambakan oleh semua rakyat Sarawak,” katanya lagi.
Mengenai pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris, Sagah berkata, guru mempunyai sedikit masalah dalam menyampaikan pelajaran dalam Bahasa Inggeris bagi kedua-dua mata pelajaran tersebut dan pelajar telah menunjukkan respon positif terhadap pelajaran yang dijalankan dalam bahasa tersebut.
Beliau berkata, pengajaran kedua-dua mata pelajaran dalam Bahasa Inggeris kini telah memasuki tahun ketiga.
“Bagaimanapun, ia dianggap terlalu awal untuk menentukan impak program itu. Ia akan mengambil keseluruhan pelajar tahun enam untuk mengukur impaknya.
“Namun begitu, saya yakin program itu mampu mencapai impak yang diinginkan dalam jangka masa panjang,” katanya.
Tambah Sagah, program itu telah memberi manfaat kepada lebih 80,000 pelajar dan 5,100 guru di seluruh Sarawak. -TVS