KUCHING, 29 Nov: Projek pembinaan Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) dijangka bermula pada separuh tahun pertama 2023.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, sebanyak RM20 juta diperuntukkan untuk memulakan pembinaan pusat berkenaan dan dijangka mula beroperasi pada pertengahan tahun 2025.
“Berhubung dengan kelulusan di bawah Belanjawan Negeri, SIDC yang terletak di bawah bidang kuasa Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak (SRDC) juga akan bekerjasama dengan beberapa institusi penyelidikan terkenal di peringkat antarabangsa.
“Antaranya Institut Alergi Kebangsaan Amerika Syarikat dan Penyakit berjangkit, Kolej Imperial London, Institut Kesihatan Tropika dan Awam Switzerland dan Universiti Oxford,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada sesi penggulungan kementeriannya pada Persidangan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
Tambahnya lagi, SIDC juga akan bekerjasama dengan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tempatan seperti Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi Curtin Malaysia Sarawak, Universiti Teknologi Swinburne Sarawak, Universiti Teknologi Sarawak, UITM Sarawak dan Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu.
Katanya lagi, beliau berharap SIDC akan bekerjasama dengan lebih banyak pusat penyelidikan bertaraf dunia pada masa hadapan. – TVS