KUCHING, 29 Nov: Keputusan percubaan bas hidrogren sejak lebih dua tahun lepas menunjukkan prestasi kenderaan itu berada pada tahap yang baik, kata Dato Sri Lee Kim Shin.
Beliau yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak berkata, ini menunjukkan kerajaan negeri yang diterajui oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) merupakan kerajaan yang bertanggungjawab kerana tidak memperkenalkan teknologi baharu tanpa ujian dan penilaian teknikal yang sewajarnya.
“Bagi tahun ini, bas hidrogen tidak kerap digantung perkhidmatannya seperti yang didakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending.
“Selaras dengan jadual operasi dan penyelenggaraan, bas hidrogen telah beroperasi mengikut jadual,” kata pada sesi penggulungan kementeriannya pada Persidangan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Sementara itu, Kim Shin yang juga ADUN Senadin berkata, percubaan operasi bas hidrogen di Sarawak merupakan persiapan untuk menjadi satu mod pengangkutan awam pada masa depan di negeri ini.
“Seterusnya, ia akan menjadi bas pengantara bagi sistem Transit Aliran Autonomi (ART),” katanya. -TVS