KUCHING, 29 Nov: Bunga tempatan Sarawak yang dikenali sebagai ‘Bunga Ta’ang’ oleh kaum Bidayuh akan dibangunkan secara komersial untuk mendapatkan minyak pati yang berpotensi digunakan dalam pelbagai produk.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata tumbuhan itu biasanya digunakan oleh kaum Bidayuh untuk merawat penyakit kulit seperti ruam dan gatal serta sebagai penghalau kutu pada haiwan peliharaan.
“Berdasarkan analisis makmal diperoleh dari Pusat Biodiversiti Sarawak (SBC), sifat fitokimia tumbuhan itu boleh dibangunkan untuk beberapa bidang seperti minyak wangi, aromaterapi, penjagaan kesihatan, makanan (sebagai pengawet), penjagaan ayam dan haiwan peliharaan dan kawalan perosak (sebagai racun larva),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata SBC telah menandatangani perjanjian perkongsian faedah dengan masyarakat Bidayuh Kampung Semadang dekat sini dan masyarakat Iban Rumah Simon di Lubok Antu untuk membekalkan minyak pati daripada Bunga Ta’ang, atau nama saintifiknya, Adenosma Nelsonioides.
“Ia juga dikenali sebagai ‘Bangkit Engkerawan’ dalam kalangan masyarakat kaum Iban di Lubok Antu. Minyak pati Bunga Ta’anng telah ditanda dagangan oleh SBC sebagai Adenosara. Sebagai permulaan, bekalan mampan sebanyak 517 liter minyak telah diperolehi tahun ini,” katanya.
Tambahnya lagi, setakat kini, SBC telah mendokumentasikan 6,568 tumbuhan yang digunakan secara tradisional oleh masyarakat orang asli Sarawak di 111 tapak seluruh negeri dalam program dokumentasi pengetahuan tradisional.
“SBC juga mempunyai kerjasama jangka panjang dengan rakan kongsi Jepun untuk membangunkan alga mikro untuk potensi tenaga boleh diperbaharui yang merangkumi pengeluaran hidrogen, penangkapan karbon dan biofuel,” katanya.
Sagah juga berkata Taman Bioindustri Sarawak akan dibangunkan di tapak seluas 40 hektar di Samarahan sebagai kemudahan yang dibina khas untuk SBC menjalankan aktiviti penyelidikan dan pengkomersilan selanjutnya.
Beliau berkata Fasa Satu taman itu akan bermula tahun depan dengan peruntukan RM2 juta, serta pembangunan dan pembinaan berkala akan diadakan dalam empat fasa sehingga 2035. – TVS