Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Julaihi Narawi. Foto: TVS

DUN Sarawak: ALAF beri manfaat kepada 10,027 isi rumah

BySalasiah Safian

KUCHING, 29 Nov: Bantuan Dana Pemohon Tambahan atau Lewat (ALAF) telah memberi manfaat kepada 771 buah kampung yang melibatkan 10,027 isi rumah.

Menurut Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Julaihi Narawi, sehingga kini dianggarkan sebanyak 25,000 pemohon di seluruh Sarawak masih memerlukan pemasangan elektrik melalui skim ALAF yang akan dilaksanakan secara berterusan dan berperingkat.

“Kementerian saya juga telah mengadakan bengkel projek ALAF pada Julai 2022 yang lepas bagi mempercepatkan pelaksanaan projek ALAF di Sarawak. Hasil daripada bengkel tersebut, kita telah membuat penambahbaikan terhadap prosedur dan proses pelaksanaan projek ALAF termasuklah penyediaan program khusus bagi menambah bilangan mereka yang mahir dalam pemasangan elektrik.

“Inisiatif ini akan dibuat secara berterusan bagi meningkatkan bilangan mereka yang mahir dan juga bilangan kontraktor yang diperlukan bagi melaksanakan projek ALAF,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada sesi penggulungan kementeriannya pada Persidangan Penggal Pertama Dewan Undanga Negeri (DUN) Sarawak  hari ini.

Sementara itu, bagi meringankan beban rakyat yang berpendapatan rendah di kawasan bandar, Kerajaan Sarawak telah menyediakan bantuan kewangan bagi Penyambungan Bekalan Elektrik melalui program Connection Charges Government Financial Assistance (CCGFA).

Jelasnya, sejak program ini diperkenalkan pada Januari 2020, sebanyak 5,282 isi rumah telah menikmati subsidi penuh, manakala 1,394 isi rumah lagi mendapat manfaat subsidi sebanyak 70 peratus, sehingga Oktober tahun ini kerajaan telah memberi subsidi sebanyak RM23.8 juta.

Selain itu, selaras dengan inisiatif pendigitalan ekonomi, Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi melalui Sarawak Energy Berhad telah melaksanakan pelbagai projek pendigitalan seperti SEB Cares, eCX, e-billing dan smart meter untuk menambahbaik perkhidmatan kepada rakyat.

“Setakat Oktober tahun ini, Sarawak Energy telah memasang 10,000 unit meter pintar di sekitar bandaraya Kuching dan akan memperluaskan pemasangan sebanyak 70 peratus daripada jumlah pelanggan di seluruh Sarawak menjelang tahun 2030,” ujarnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan