Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Gabenor Kalimantan Barat Sutarmidji (enam dari kanan) di Karnival Pelancongan Sarawak. Turut hadir Konsul Malaysia di Pontianak Azizul Zekri Abd Rahim (tujuh dari kanan) dan Barbara Benjamain Atan dari STB (empat dari kiri)

STB perkukuh promosi produk pelancongan di Pontianak

ByIzzah Kamilah Yunus

KUCHING, 28 Nov: Karnival Pelancongan Sarawak yang diadakan di Ayani Megamall, Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia baru-baru ini bertujuan memperkukuhkan lagi promosi produk-produk pelancongan Sarawak dalam kalangan warga negara jiran itu.

Anjuran Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dari 25 hingga 27 November itu, karnival berkenaan adalah untuk mempromosikan produk pelancongan kesihatan, santai dan pendidikan.

STB menerusi kenyataan media hari ini berkata, Sarawak merupakan destinasi semakin popular untuk pelancongan kesihatan.

“Sarawak menawarkan perkhidmatan kesihatan yang berpatutan dan berkualiti tinggi ditawarkan oleh 13 institusi perubatan dan hospital swasta di Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu.

“Lebih 53,000 orang dari seluruh rantau ASEAN melawat negeri ini untuk mendapatkan rawatan perubatan sebelum pandemik COVID-19,” kata kenyataan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif STB Sharzede Datu Hj Salleh Askor berkata, Sarawak dan Kalimantan telah menikmati faedah bersama dari pelancongan sempadan.

“Melalui pelancongan sempadan, kedua-dua sektor di setiap negara telah membantu menjana peluang pekerjaan, meningkatkan ekonomi tempatan, meningkatkan taraf hidup masyarakat tempatan merentas sempadan dan meningkatkan peluang pelaburan dalam perniagaan baharu di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan dibacakan oleh Pengarah Pemasaran (ASEAN dan Domestik) STB Barbara Benjamin Atan pada karnival berkenaan. Hadir sama, Gabenor Kalimantan Barat, H. Sutarmidji.

Rakan kongsi pelancongan Sarawak yang mengambil bahagian pada karnival itu termasuk Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Borneo Medical Centre Kuching, Great Leap Tours Travel Sdn Bhd, Innosar Holiday Sdn Bhd, Khaimal Borneo Travel & Tours Sdn Bhd, Al Fateh Worldwide Travel & Tours Sdn Bhd, KPJ Kuching Specialist Hospital, Pullman Kuching dan Pullman Miri Watefront, Pusat Pakar Perubatan Normah, Timberland Medical Centre, Penview Hotel Kuching dan Damai Beach Resort.

Antara aktiviti yang diadakan pada karnival itu ialah pertandingan mereka bentuk poster untuk pelajar sekolah rendah dan menengah dan demonstrasi lukisan oleh pensyarah UNIMAS Sylvester Wielding Jussem. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan