KUCHING, 28 Nov: Sarawak Energy berjaya meraih dua anugerah emas pada Sidang Kemuncak Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan Anugerah Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Global ke-14 di Hanoi, Vietnam, awal bulan ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Energy, Datu Sharbini Suhaili berkata, pengiktirafan berkenaan diterima menerusi Projek Memperkasakan Komuniti Peribumi Yang Selamat dan Berdaya Tahan dalam Projek Bakun yang dipilih sebagai Anugerah Program Komuniti Terbaik.
Kata beliau, Sarawak Energy juga menerima Anugerah Pemerkasaan Wanita untuk Projek Memperkasakan Wanita Peribumi.
“Kemenangan ini tidak dapat dikecapi tanpa sokongan daripada Kerajaan Sarawak, Kementerian Telekomunikasi dan Utiliti serta dedikasi oleh seramai 5,400 pekerja.
“Paling penting, kami juga berterima kasih kepada rakan kongsi iaitu komuniti yang terkesan berikutan perlaksanaan projek operasi kuasa hidro,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu, Sarbini berkata, Sarawak Energy yang merupakan pemaju tenaga boleh diperbaharui terbesar di Malaysia dan syarikat utiliti kuasa utama di Sarawak akan terus komited dalam menerapkan nilai mampan dalam perniagaan dan operasinya.
Sebelum ini, Sarawak Energy telah melaksanakan beberapa program CSR termasuklah program literasi untuk masyarakat dewasa Penan, program pembangunan kraf tangan, keusahawanan dan pembangunan kapasiti dengan fokus kepada wanita untuk meningkatkan kemampuan mereka.
Menerusi program CSR yang dilaksanakan juga, Sarawak Energy telah menempatkan semula lebih 15,600 penduduk di 15 buah rumah panjang di Asap Koyan, Belaga yang terkesan dengan projek pembinaan Loji Hidroelektrik Bakun (Bakun HEP).
Mereka turut didedahkan dengan program pencegahan kebakaran dan keselamatan. -TVS