Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Raduan Serap bersama Pengarah DBP Abang Haliman Abang Julai menyempurnakan Majlis Prapelancaran Kamus Melanau Matu Daro-Bahasa Melayu di Dewan Suarah Sarikei. Foto TVS.

Kamus Melanau Matu-Daro bakal diterbitkan tahun depan

SARIKEI, 28 Nov: Selepas empat tahun menyiapkan manuskripnya, Kamus Bahasa Sukuan Melanau Matu-Daro bakal mencipta sejarah melalui penerbitan pertamanya pada tahun depan.

Projek dijayakan bersama Jawatankuasa Pembinaan Kamus Melayu Sarawak yang dianggotai Pertubuhan Graduan Pulau Bruit, Persatuan Graduan Matu, Persatuan Melanau Matu Daro Sarikei dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak.

Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Kamus Melanau Matu-Daro, Raduan Serap berkata, manuskrip itu akan diserahkan kepada pihak DBP Malaysia bagi proses penyuntingan dan penerbitan.

“Kamus ini ditubuhkan kerana kita melihat adanya kamus Melanau Mukah. Sebelum itu, kita melihat kamus Iban telah diwujudkan 11 dan 12 tahun sebelum itu. Kini, kita melihat kamus Melanau Mukah.

“Persatuan Melanau Matu Daro, Melanau Sarikei dan Persatuan Graduan Matu bersama dengan Persatuan Graduan Pulau Bruit telah bersepakat untuk menghasilkan kamus daerah Matu dan Daro yang bertujuan agar adanya kamus sendiri untuk dijadikan rujukan,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Prapelancaran Kamus Melanau Matu Daro-Bahasa Melayu di Dewan Suarah Sarikei semalam.

Beliau berkata, penghasilan manuskrip 790 muka surat yang merangkumi 5,138 kata dasar dan 3,136 kata terbitan itu bermula tahun 2019 dan siap sepenuhnya tahun ini.

Usaha yang amat mencabar itu katanya, mendapat kerjasama baik bukan sahaja ahli persatuan tetapi juga wakil rakyat setempat.

“Cabaran utama dalam menghasilkan kamus ini, adalah dari segi kelompok kerana daerah ini yang agak luar biasa iaitu di Matu itu sendiri pun sudah ada beberapa lenggok Bahasa, di Daro pun sama, begitu juga dengan di Pulau Bruit. Kemudian semasa kita membuat entri, kita juga berhadapan dengan cabaran yang besar sehingga terpaksa memanggil wakil-wakil dari Matu Daro untuk berkumpul di Kuching,” katanya lagi.

Beliau berkata, jawatankuasa turut melakukan kerja lapangan mengikuti metodologi yang sesuai dengan DBP, selain berdepan dengan kekangan masa.

Bagaimanapun beliau berkata, kerjasama ketua masyarakat dan penduduk memudahkan mereka menyempurnakan misi berkenaan.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan