Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dennis Ngau memohon agar peruntukan untuk kawasan pedalaman dan luar bandar ditingkatkan. Foto: Radzi Ahmad (TVS).

Jangan berlengah bangunkan kawasan pedalaman – Dennis Ngau

BySalasiah Safian

KUCHING, 28 Nov: Masalah kekurangan infrastruktur di kawasan pedalaman perlu ditangani segera untuk manfaat rakyat, kata Dennis Ngau.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan berkata, mengambil contoh di kawasan yang diwakilinya itu, isu berkenaan telah lama berlarutan.

Malah dedah beliau, mereka turut berdepan kesukaran untuk mendapatkan bantuan daripada agensi kerajaan yang berkaitan jika berlaku bencana.

“Kadang kala, saya memang marah dengan agensi kerajaan kerana bantuan yang diminta sekiranya berlaku tanah runtuh atau jalan terputus sangat lewat.

“Saya terpaksa meminta bantuan daripada syarikat kayu balak. Sebab itu saya kata, kita kena bekerjasama, sokong kerajaan yang berusaha keras untuk membangunkan kawasan pedalaman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi TVS hari ini bagi mengulas cadangan meningkatkan peruntukan kerajaan kepada kawasan luar bandar dan pedalaman.

Sehubungan itu, Dennis berkata, beliau menyokong sepenuhnya cadangan berkenaan dengan mencadangkan kawasan pedalaman wajar menerima peruntukan sebanyak RM15 juta setahun di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kelewatan pembangunan di kawasan luar bandar sering dibangkitkan termasuk di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Sebab itu kita di pihak Gabungan Parti Sarawak (GPS) selalu mengatakan kepada rakyat yang kita meneruskan usaha pembangunan yang akan mengambil masa. Oleh itu, kita perlu memiliki kerajaan yang stabil,”katanya.

Di Sarawak katanya, GPS di bawah pimpinan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg lebih memahami keperluan pembangunan di sini dan justeru penyertaan dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan diharap dapat membantu pembangunan di kawasan pedalaman. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan