Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Professor Dato Dr. Jamil Hamali (tengah) ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Aplikasi Komputer dan Dron (IConDA) Ketiga. Foto: TVS

Dron bantu banteras pembalakan haram di Sarawak

ByRegina Lee

KOTA SAMARAHAN, 28 Nov: Penggunaan dron sebagai aset peninjau telah membantu membanteras aktiviti pembalakan haram di Sarawak, kata Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak, Profesor Dato Dr. Jamil Hamali.

Menurutnya, Sarawak kini mempunyai renjer dron yang menjalankan peranan memantau hutan dan melihat segala aktiviti dengan jelas dari udara dan hasilnya, penyeliaan sumber hutan telah meningkat.

“Dron telah membantu kita menguruskan sumber asli dengan cekap khususnya untuk pengurusan kayu yang mampan,” katanya ketika berucap pada perasmian Persidangan Antarabangsa Aplikasi Komputer dan Dron (IConDA) Ketiga anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak di sini, hari ini.

Beliau menegaskan teknologi dron bermanfaat dalam mendepani perubahan iklim dan perlindungan alam sekitar dengan pengumpulan data yang lebih baik dan penguat kuasaan yang cekap untuk menangani aktiviti haram.

“Dengan ini, 2.5 juta hektar telah diisytiharkan sebagai inisiatif Heart of Borneo (HoB) dan dron akan membantu negeri memantau kawasan itu dengan lebih berkesan.

“Tahun lepas, Jabatan Hutan Sarawak memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan  Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) untuk kerjasama dalam aktiviti pemulihan yang merangkumi penanaman, pemuliharaan dan perlindungan pokok di kawasan itu di bawah seliaan BDA untuk pengindahan bandar Bintulu,” katanya.

Tambahnya, terdapat beberapa spesies pokok tempatan yang bernilai tinggi telah dikenal pasti untuk ditanam dalam projek anak benih dron negeri.

Pada masa yang sama, Jamil berkata persidangan itu menyediakan peluang untuk mengetengahkan inovasi terkini dalam pembangunan sains dan teknologi dan untuk mengenal pasti bidang pertumbuhan masa hadapan serta kerjasama dalam teknologi dron.

Beliau turut berkata dron telah terbukti berguna dalam pelbagai sektor iaitu ketenteraan, agrikultur, tenaga, infrastruktur dan pelancongan.

“Terdapat banyak potensi yang belum lagi diterokai dalam dron komersial yang boleh digunakan dalam ekonomi kita.

“Ini selaras dengan Pelan Tindakan Teknologi Dron Malaysia 2022-2030 (MDTAP30) yang akan dibangunkan sebagai agenda nasional bagi menyokong ekosistem dron yang dipersetujui bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada September lalu,” ujarnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan