SARIKEI, 27 Nov: Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei perlu dinaik taraf bagi keselesaan anggota, selain meningkatkan keupayaan pasukan keselamatan itu dalam melakukan tugas-tugas menyelamat.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir Yusuf Abdul Wahab berkata, usaha menaik taraf meliputi kemudahan, kelengkapan dan saiz bangunan itu wajar dilaksanakan bagi menampung keperluan dan populasi penduduk di daerah Sarikei yang semakin meningkat.
Perkara itu katanya, merupakan salah satu daripada usul penting yang akan dibentangkan beliau pada sidang Parlimen pertama pada 19 Disember ini.
“Perkara ini akan saya bawa dalam perbahasan di Parlimen apabila bersidang pada 19 Disember nanti. Tujuannya untuk menambah baik dan menaik taraf balai bomba di daerah Sarikei terutamanya bandar Sarikei supaya kes-kes kebakaran dapat diselesaikan, dapat diatasi dan juga dipadamkan dengan secepat mungkin supaya tidak menjadi kesusahan kepada orang ramai terutama sekali di kawasan Sarikei,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan mempertimbangkan cadangan itu bagi mengurangkan risiko kemalangan jiwa sekali gus mengatasi masalah kemusnahan harta benda.
Dengan adanya kemudahan yang lebih baik, pasukan Bomba mampu memberi respon yang lebih pantas kepada masyarakat sekiranya berlaku sebarang kes di kawasan berkenaan.
“Bandar Sarikei membangun dengan begitu pesat sekali ditambah lagi dengan kelangsungan jalan raya, sistem jalan raya Pan Borneo yang sedang dalam peringkat akhir di mana kita akan menyaksikan ramai lagi datang dan menetap di Sarikei dan sebagainya.
“Ini akan menambahkan penduduk di bandar Sarikei sehingga kemudahan seperti balai bomba dan lain-lain perlu ditingkatkan di Sarikei,” katanya lagi selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran semalam.
Kebakaran tersebut membabitkan sebuah rumah dua tingkat jenis separuh kekal di Jalan Ixora Sarikei, kejadian kira-kira jam 1 petang Jumaat itu mengakibatkan kediaman mangsa musnah, namun tidak melibatkan kemalangan jiwa.-TVS