Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ini diumumkan oleh anak syarikat milik penuh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC),  Sarawak Metro Sdn Bhd, yang telah diamanahkan untuk melaksanakan projek KUTS berkenaan. Foto: The Borneo Post

Usaha sama DOM-EEB peroleh kontrak bernilai RM448 juta daripada Sarawak Metro

KUCHING, 27 Nov: Usaha sama DOM-EEB (DOM-EEB JV) – kolaborasi antara DOM Industries (M) Sdn Bhd dan China Railway Electric Engineering Group Malaysia Sdn Bhd – telah memenangi tender bagi kontrak Pakej Sistem Dua untuk Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) – Fasa Satu.

Ini diumumkan oleh anak syarikat milik penuh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC),  Sarawak Metro Sdn Bhd, yang telah diamanahkan untuk melaksanakan projek KUTS berkenaan.

Sarawak Metro berkata bidaan DOM-EEB JV adalah antara 10 serahan tender yang diterima pada penutupan tender pada 18 Julai tahun ini.

“Kontrak itu bernilai RM448 juta dan melibatkan reka bentuk, kejuruteraan, perolehan, penghantaran, pemasangan, ujian dan pengoperasian serta penyerahan pelbagai sistem,” katanya dalam satu kenyataan.

Sistem-sistem ini termasuk telekomunikasi; kawalan penyeliaan dan pemerolehan data; kutipan tambang automatik; sistem pengurusan penyelenggaraan berkomputer; pusat kawalan operasi; dan sistem teknologi maklumat.

Projek KUTS akan dilaksanakan secara berperingkat, bermula dengan Fasa Satu untuk pembangunan Laluan Biru, Merah dan Hijau.

Laluan Biru adalah dari Rembus di Kota Samarahan ke Hikmah Exchange di pusat bandar Kuching, meliputi jarak sejauh 27.6km, manakala Laluan Merah bermula dari Kuching Central ke Pending (12.3km) dan Laluan Hijau dari Pending ke Damai Central di Santubong (30km).

Tulang belakang projek KUTS ialah pengenalan kenderaan transit aliran autonomi (ART), yang akan menggunakan hidrogen sebagai bahan api dan disokong oleh rangkaian bas pengantara berkuasa hidrogen yang akan menyediakan sambungan pembatuan pertama dan terakhir untuk sistem pengangkutan.

Perkhidmatan penumpang untuk ART dijadual akan diperkenalkan secara berperingkat, bermula dari suku keempat 2025.

Kontrak Pakej Sistem Satu untuk Projek KUTS-Fasa Satu telah diberikan (pada 18 Julai) kepada syarikat usaha sama milik EPR (Kuching) Sdn Bhd, Global Rail Sdn Bhd dan Mobilus Sdn Bhd.

Kontrak berkenaan adalah untuk membekalkan “rolling stock” iaitu kenderaan ART berkuasa hidrogen, peralatan depoh dan kenderaan penyelenggaraan, sistem isyarat dan kawalan serta pintu platform automatik. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan