SARIKEI, 27 Nov: Tanjung Lusam yang terletak di Kuala Selalang Sarikei berpotensi besar dimajukan sebagai kawasan tarikan pelancong yang baharu khususnya di Wilayah Tengah Sarawak.
Residen Sarikei, Felicia Tan Ya Hua berkata, kawasan yang mempunyai jajaran pantai yang sangat bersih dan cantik itu belum diterokai sepenuhnya.
“Saya terkejut melihat Tanjung Lusam, di Kuala Selalang begitu cantik dan masih lagi belum diterokai sepenuhnya. Pada masa akan datang ia merupakan satu potensi untuk kita majukan apabila ada sektor, pihak persendirian boleh membuat pelaburan di sana dan baru-baru ini juga, ada aktiviti mengunjungi sebuah gua di daerah Pakan dan banyak lagi,” katanya.
Beliau mendedahkan Sarikei mempunyai potensi besar dalam sektor pelancoongan berkonsepkan budaya, kembara, alam semula jadi, makanan dan pesta.
Malah beliau berkata, Sarikei mempunyai banyak rumah panjang tradisional untuk dijadikan homestay yang menarik dengan pelbagai kebudayaan dan cara hidup.
Tidak sekadar itu, Sungai Rejang yang berpotensi sebagai kawasan memancing strategik, keindahan flora dan fauna serta air terjun dan pantai, malah gua yang baharu diterokai menambah lagi keunikan dan kelebihan daerah berkenaan.
“Secara ringkasnya, bahagian Sarikei boleh menjana ekonomi melalui aktiviti agro pelancongan dan ia boleh dimanfaatkan oleh para pengunjung ataupun sebagai tarikan pelancong untuk datang ke sarikei dengan adanya jaringan jalan raya yang begitu baik, Pan Borneo, lebih dekat kepada Kuching dan juga sebelah Utara dan juga perhubungan yang begitu baik,” katanya lagi pada Majlis Perasmian Pesta Nanas dan Buah-Buahan Sarikei 2022 semalam.
Penganjuran pesta selaras dengan matlamat menjadikan bahagian Sarikei sebagai pusat agropolis Wilayah Zon Tengah dan destinasi pilihan agro pelancongan, selain memantapkan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.-TVS