SIBU, 27 Nov: Polis menahan seorang buruh dan merampas dadah jenis Methamphetamine seberat 1.014 kilogram, bernilai RM36,000 di hadapan sebuah tandas awam di Lorong Salim, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili berkata, lelaki berusia 40 tahun ini dtahan ketika pasukan polis narkotik dari ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu melakukan rondaan sekitar jam 3.00 petang tadi.
“Hasil pemeriksaan yang dilakukan terhadap suspek menjumpai satu paket plastik lutsinar berisi hablur kristal disyaki dadah jenis syabu atau Methamphetamine seberat 1.014 kilogram dianggarkan bernilai RM36,000,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.
Katanya, ujian saringan air kencing yang dibuat ke atas suspek yang juga merupakan lelaki tempatan didapati negatif dadah.
Jelasnya, suspek ditangkap di bawah seksyen 39b Akta A Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan akan direman selama tujuh hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan lanjut.
“Jika sabit kesalahan di bawah seksyen tersebut, suspek boleh dikenakan hukuman mandatori gantung sampai mati,” tambah beliau. -TVS