Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ahli parlimen Sarikei , Dato’ Sri Huang Tiong Sii menyempurnakan Majlis Perasmian Pesta Nanas dan Buah-Buahan Sarikei 2022 semalam. Foto TVS.

Amalan pertanian moden di Taman Agro Sarikei

SARIKEI, 27 Nov: Dua Taman Agro, Sungai Baji dan Parit Bugis yang sedang dalam pembinaan di Sarikei akan mempraktikkan penggunaan teknologi terkini bagi meningkatkan pengeluaran hasil pertanian di kawasan itu.

Ahli Parlimen Sarikei, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata usaha itu akan menjadi pemangkin kepada ekonomi digital dalam sektor pertanian, ternakan dan industri makanan yang boleh menembusi pasaran global pada masa akan datang.

“Bukan itu sahaja, bahagian Sarikei mempunyai potensi yang amat besar untuk berkembang maju dalam bidang pertanian. Kekayaan sumber dan bahan mentah yang terdapat di Sarikei dan sekitarnya, membolehkannya berkembang sebagai penggerak utama aktiviti ekonomi terutamanya di kawasan wilayah tengah Sarawak,” katanya.

Beliau berkata Sarikei dikenal pasti lokasi paling strategik sebagai rangkaian utama logistik dalam memasarkan produk pertanian dengan siapnya jalan Pan Borneo serta Jalan Sungai Pasi dan Jambatan Kuala Rajang yang sedang dalam pembinaan.

Malah beliau berkata penubuhan Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) yang merangkumi bahagian Sarikei dan Mukah seluas kira-kira 10,786 kilometer (km) berupaya menjana pembangunan Sarikei serentak dengan bahagian lain sekali gus merapatkan jurang keselesaan bandar dan luar bandar.

“Kini, usaha tersebut berada pada landasannya dan kita berusaha untuk memastikan masyarakat di kawasan ini peka dengan melihat konsep ‘Pertanian Itu Perniagaan’ sebagai satu peluang yang terbaik untuk memantapkan sektor ekonomi diri dan keluarga serta menceburkan diri dalam industri makanan.

“Justeru, manfaatkanlah peluang yang ada ini untuk bersama-sama melonjakkan sosioekonomi rakyat untuk mencapai matlamat menjadi negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030,” katanya lagi ketika menghadiri Majlis Perasmian Pesta Nanas dan Buah-Buahan Sarikei 2022 semalam.

Program yang dihadiri lebih 4,000 penduduk itu diserikan dengan pelbagai acara menarik antaranya persembahan kebudayaan dan pertandingan ratu cilik.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan