KUCHING, 26 Nov: Gembira selepas berjaya menempatkan diri ke peringkat akhir, Ameem dan Santiana Ramli mengaku merasai tekanan yang bakal diharungi di peringkat akhir walaupun berlangsung dalam masa dua minggu lagi.
Bagi Santiana Ramli, peserta wanita pertama yang berjaya mara ke peringkat separuh akhir dan akhir mengakui dalam keterujaan, Santiana agak gementar dengan tekanan di mana majoriti peserta adalah lelaki yang mempunyai kekuatan vokal yang berbeza daripada wanita.
“Saya mewakili wanita ingin menyatakan masing-masing mempunyai kelebihan yang tersendiri dan untuk perspektif ‘girl power’ itu saya akui sangat besar.
“Contoh boleh diambil seperti komen Dato’ Nash kepada saya di mana beliau menolak (reject) saya dengan kelembutan, jadi mungkin maksudnya di sana untuk ‘girls power’ itu tidak semestinya harus lantang sahaja tetapi perlu ada lembutnya dan pada masa sama harus berbisa,” katanya.
Bagi Ameem, dalam masa sama teruja dapat mara ke peringkat akhir setelah diserap kembali hasil undian peminta, Ameem mengakui musuh utamanya adalah dari segi kesihatan mental dan fizikal yang boleh dipercayai menjejaskan kualiti persembahannya.
“Untuk tekanan ini, persiapan yang saya perlu sediakan setakat ini adalah dari segi fizikal dan mental kerana seperti yang kita tahu, cuaca kerap berubah dan saya tidak mahu batuk dan selesema dan pada masa sama, saya akan meningkatkan stamina saya.
“Bagi mental, musuh utama saya adalah gementar kerana ia boleh menjejaskan kualiti persembahan saya, tetapi jika tiada perasaan gemuruh tu agak berbahaya juga sebenarnya,” katanya.
Ameem merupakan peserta dari Johor manakala Santian Ramli merupakan peserta dari Sabah, kedua-duanya mendapat markah sebanyak 62.5 dan 62.3.
Minggu kedua peringkat separuh akhir akan menyaksikan tujuh lagi peserta bakal bersaingan untuk merebut dua kerusi akhir di Getaran Jiwa nanti. – TVS