JAKARTA, 25 Nov: Presiden Indonesia, Joko Widodo, menjadi yang pertama mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Malaysia ke-10, Anwar Ibrahim, melalui telefon dari Istana Presiden Bogor malam tadi.
Jokowi yang mewakili seluruh rakyat Indonesia percaya di bawah pimpinan PM Anwar Ibrahim, hubungan baik Indonesia dan Malaysia akan terus maju.
“Bagi pihak kerajaan, bagi pihak seluruh rakyat Indonesia, saya ingin mengucapkan tahniah kerana telah dipilih sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kesepuluh,” katanya.
Menurut Presiden Jokowi, Anwar Ibrahim merupakan tokoh yang dikenali ramai di Indonesia dan disegani oleh rakyat Indonesia.
Jokowi juga berharap dapat bertemu segera bagi membincangkan beberapa usaha memperkukuh hubungan dua hala, baik dalam bidang ekonomi, isu sempadan, mahupun mengenai perlindungan rakyat di usia ke-65 hubungan diplomatik antara Malaysia dan Indonesia.
Dalam perbualan itu, Anwar Ibrahim turut melahirkan rasa terima kasih atas ucapan tahniah daripada Indonesia dan turut berharap hubungan perdagangan, pelaburan dan kebudayaan dapat terus dipertingkatkan. – TVS