KUALA LUMPUR, 25 Nov: Ratu terjun negara Dato Pandelela Rinong kembali menguasai acara kegemarannya, selepas memenangi pingat emas di Grand Prix Terjun Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA), di Bukit Jalil hari ini.
Penerjun dari Sarawak berusia 29 tahun itu, memenangi acara terjun 10 meter (m) platform wanita selepas mengumpulkan 324.70 mata, pada peringkat akhir yang berlangsung di Pusat Akuatik Nasional di sini.
Penerjun Australia Milly Puckeridge (289.90 mata) dan Kim Nahyun (254.10 mata) dari Korea Selatan masing-masing menang perak dan gangsa, manakala seorang lagi penerjun negara Eilisha Rania Abrial Rajagopal (231.20) di tempat keempat.
“Saya rasa prestasi pada sebelah petang lebih baik dan konsisten berbanding (pusingan awal dan separuh akhir) pagi tadi, namun perlu perbaiki dari segi taktikal dan perbaiki lagi terjunan. Saya perlu pertingkatkan kecergasan kerana apabila perlu beraksi dua atau tiga pusingan dalam satu hari, ia agak mencabar dari segi fizikal.
“Bagaimanapun, pertandingan macam ini sangat baik untuk saya, selepas sebelum ini banyak pertandingan dibatalkan kerana pandemik COVID-19. Jadi, pertandingan berterusan sangat penting untuk kembali kepada normal (suasana pertandingan),” katanya kepada media selepas majlis penyampaian pingat.
Pada Ahad, Pandelela yang akan beraksi dengan pasangannya Nur Dhabitah Sabri, menyasarkan untuk menang satu lagi emas dalam acara terjun10m platform seirama.
Pandelela, yang merupakan antara penerjun Malaysia terbaik dengan memenangi pingat perak dan gangsa Olimpik, baru-baru ini hanya menduduki tempat keenam pada Piala Dunia di Berlin, Jerman bulan lepas, dan pulang dengan tangan kosong di Sukan Komanwel Birmingham pada Ogos.
Ditanya mengenai pertandingan seterusnya, beliau berkata yang beliau akan berlatih untuk Kejohanan Dunia di Fukuoka, Jepun, yang juga merupakan acara kelayakan untuk Olimpik Paris 2024 dan juga Sukan Asia Hangzhou pada September.
Sementara itu dua penerjun lelaki negara juga cemerlang, apabila Ooi Tze Liang menang emas dalam acara terjun 3m papan anjal, manakala rakan sepasukan Chew Yi Wei menang perak.
Tze Liang, 29, melakukan catatan peribadi terbaiknya musim ini dengan 441.35 mata, manakala Yi Wei, 27 mengumpulkan 406.90 mata. Penerjun Australia lchlan Cronin menang gangsa dngan 402.20 mata.
“Saya gembira untuk menang emas dengan catatan peribadi terbaik musim ini pada kejohanan terakhir tahun ini, walaupun persediaan saya tidak berapa baik kerana terpaksa bahagikan masa antara latihan saya dengan tahun akhir saya di Universiti Malaya,” kata Tze Liang.
Yi Wei yang akan berpasangan dengan Tze Liang dalam acara terjun 3m papan anjal seirama esok, berharap untuk menang emas, untuk membuatkan rakyat Malaysia berbangga.