Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

DUN Sarawak: Lembaga Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan perlu audit dalaman dan luaran

ByAmirah Shawel

KUCHING, 24 Nov: Lembaga Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan perlu menginstitusikan ciri-ciri khas bagi mengukuhkan tadbir urus dana termasuk audit dalaman dan luaran serta Pematuhan Tadbir Urus.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Datuk Talib Zulpilip berkata terdapat keperluan untuk meletakkan audit dalaman yang berkaliber tinggi dan melantik firma audit luar yang memiliki reputasi yang tinggi.

Begitu juga menurutnya dengan menempatkan pasukan pematuh tadbir urus yang cekap dan berkuasa.

“Jawatankuasa audit berperanan untuk memantau integriti penyata kewangan syarikat dan sebarang pengumuman rasmi berkaitan prestasi kewangan syarikat selain menyemak pertimbangan pelaporan kewangan penting yang terkandung di dalamnya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Perbahasan Atas Bacaan Kali Yang Kedua Rang Undang-Undang Perbekalan (2023), 2022 dan Usul Untuk Merujuk Resolusi Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Bagi Tahun 2023 pada Persidangan Hari Ketiga Mesyuarat Ketiga Bagi Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-19, semalam.

Meskipun begitu katanya, terdapat beberapa kelemahan yang perlu dielakkan termasuk dianggap mengkritik atau menjerat pengurusan eksekutif.

Ahli jawatankuasa bukan eksekutif juga boleh menjadi terlalu terlibat dan bertindak seperti pengarah eksekutif sehingga kehilangan kebebasan mereka.

Mengulas mengenai peruntukan yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Sarawak, beliau berkata peruntukan yang diterima adalah terlalu sedikit kerana Sarawak merupakan penyumbang utama kepada tabung Persekutuan.

“Mudahnya berkenaan peruntukan belanjawan ini, dana hendaklah diperuntukkan kepada negeri atau wilayah yang menjana hasil dan yang paling memerlukannya. Sarawak perlu mengejar seluruh negara dari segi infrastruktur, sekolah, hospital dan sebagainya,” katanya.

Dengan itu, perkara ini tidak seharusnya dibiarkan berlaku secara berterusan lagi kerana Sarawak mahukan peruntukan yang adil daripada Kerajaan Persekutuan. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan