KUCHING, 24 Nov: Sebuah pusat dialisis amat diperlukan di Sungai Tulai, Bintangor bagi meminimakan kesesakan di Hospital Sarikei, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.46 Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing.
Hasrat berkenaan kata Ding memerlukan perbelanjaan berjumlah RM5.5 juta bagi membangunkan kemudahan tersebut.
“Dengan kerjasama pihak Yayasan Buah Pinggang Malaysia, cadangan tersebut telah diluluskan oleh pihak berkuasa yang berkenaan.
“Memandangkan projek tersebut merupakan projek berimpak tinggi yang akan memberi faedah kepada penduduk setempat, saya ingin membuat rayuan kepada pihak Premier untuk memberi peruntukkan supaya projek ini dapat dilaksanakan segera,”
Beliau berkata demikian pada persidangan DUN Sarawak pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (2023) yang merujuk kepada anggaran perbelanjaan pembangunan Sarawak untuk tahun hadapan.
Tambah beliau lagi, terdapat beberapa Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) di kawasan DUN Meradong telah terganggu ekoran jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) di Sarikei telah dipindahkan ke JKR Sibu.
“Saya berharap masalah ini akan diteliti oleh pihak yang berkenaan supaya pembangunan di sini tidak tergendala lagi,” tambah Ding. – TVS