KUCHING, 24 Nov: Lebih banyak program perlu diadakan ke arah melahirkan belia cemerlang yang berdaya saing, inovatif, bebas dadah dan berfikiran profesional.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Safiee Ahmad berkata dengan adanya belia memiliki ciri-ciri berkenaan, Sarawak akan memiliki sumber manusia berprestasi tinggi bagi memangkin Sarawak menjadi negeri maju menjelang 2030.
“Bagi mencapai hasrat tersebut, terdapat beberapa usaha yang perlu dirancang dan diwujudkan secara serius seperti membanteras kegiatan dadah dalam kalangan belia,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Negeri 2023 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
.
Tambahnya, lebih banyak program pendidikan peluang kedua perlu dijalankan dalam kalangan belia.
“Ini adalah untuk belia yang gagal dalam akademik di peringkat sekolah menengah dan lebih banyak program vokasional bagi melahirkan belia yang berdaya saing dan berdaya maju,” katanya.
Safiee turut mencadangkan kerajaan perlu memperuntukkan dana tertentu bagi menyokong pendidikan agama dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
“Ini perlu bagi membina strategi yang komprehensif untuk menginspirasikan moto “Sarawakku Sayang” dalam kalangan generasi muda.
“Insya-Allah, negeri kita akan hidup aman dan harmoni jika kita dapat memupuk semangat ini dalam kalangan mereka,” tambahnya. – TVS