KUCHING, 23 Nov: Ahli Parlimen Petra Jaya Dato Sri Fadillah Yusof mengetuai beberapa Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) dititahkan ke Istana Negara hari ini dipercayai berhubung pelantikan Perdana Menteri.
Sumber yang boleh dipercayai berkata, Fadillah yang juga Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bersama Setiausaha Agung GPS Dato Sri Alexander Nanta Linggi baru sahaja tiba di Kuala Lumpur kira-kira jam 10 pagi, hari ini.
Turut serta, Ahli Parlimen Serian Dato Sri Richard Riot Jaem dan Ahli Parlimen Kanowit Datuk Aaron Ago Dagang.
Selain GPS, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut dijadual menerima Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menghadap hari ini.
Pada Selasa, Al-Sultan Abdullah menitahkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menghadap baginda.
Bagaimanapun, tiada keputusan mengenai pelantikan Perdana Menteri setakat pagi ini.
Pada Selasa, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengadakan perjumpaan dengan Ahli-ahli Parlimen GPS di Ibu Pejabat PBB di sini.
GPS memenangi 23 daripada 31 kerusi Parlimen di Sarawak menerusi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 19 November lepas.
PRU-15 menyaksikan tidak ada parti yang memenangi kerusi Parlimen untuk mencapai majoriti mudah bagi membentuk kerajaan Persekutuan.
PH memperoleh 76 kerusi, PN (51), BN (30), PAS (22), Gabungan Rakyat Sarawak (6), Parti Tindakan Demokratik (5) dan Warisan (3).Â