Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pengerusi Penang Front Party (PFP), Datuk Ooi Kar Giap, 55, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini. Foto TVS.

Mahkamah: Pengerusi parti politik antara 4 individu didakwa perdagang manusia

BUTTERWORTH, 23 Nov: Pengerusi sebuah parti politik dan seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 10 pertuduhan memperdagangkan manusia bagi tujuan eksploitasi kerja antara Januari hingga Oktober tahun ini.

Tertuduh yang juga Pengerusi Penang Front Party (PFP), Datuk Ooi Kar Giap, 55, dan Chye Lay Hoon, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Noor Aini Yusof dalam bahasa Mandarin.

Chye Lay Hoon, 52, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini. Foto TVS.

Mengikut pertuduhan, mereka masing-masing Pengarah Syarikat dan Pengurus Sumber Manusia didakwa secara bersama memperdagangkan 10 individu tempatan bagi tujuan buruh paksa.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Taman Tangling Indah, Simpang Ampat dekat sini antara 14 Februari hingga 27 Oktober lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda.

Sementara itu, dua pekerja syarikat, Lim Yong Choon, 47, dan Woong Chew Hoe, 40, turut mengaku tidak bersalah di mahkamah sama masing-masing dengan 10 pertuduhan bersubahat bersama dua individu berkenaan.

Kedua-dua lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 12 ATIPSOM.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun dan boleh dikenakan denda.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Teh Yi Kai dan Pang Chuin Keat.

Noor Aini kemudiannya membenarkan keempat-empat tertuduh diikat jamin berjumlah RM362,000 dengan masing-masing seorang penjamin.

Mereka turut dikenakan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Kes akan disebut semula 4 Januari tahun hadapan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan