KUALA LUMPUR, 23 Nov: Kadar jangka pendek diunjur kekal stabil hari ini berikutan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menyerap lebihan mudah tunai daripada sistem kewangan.
Mudah tunai dianggarkan RM48.33 bilion dalam sistem konvensional dan RM45.23 bilion dalam dana Islam.
Hari ini, bank pusat akan menjalankan tender pasaran wang konvensional melibatkan RM1 bilion selama tujuh hari dan dua tender Program Murabahah Komoditi (CMP) yang terdiri daripada tender RM200 juta selama 30 hari dan tender RM500 juta (58 hari).
Selain itu, BNM turut mengumumkan ketersediaan repo berbalik, perjanjian jual dan beli semula serta kemudahan Murabahah Komoditi Bercagar untuk tempoh satu hingga tiga bulan.
Pada 4 petang, ia akan menawarkan tender semalaman konvensional bernilai sehingga RM46.3 bilion serta RM43.5 bilion untuk tender semalaman Murabahah. – TVS