KUCHING, 23 Nov: Seramai 1,888 belia telah mengambil bahagian dalam Persediaan Usahawan Muda (YES) di seluruh Sarawak, kata Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dr Ripin Lamat.
Menurutnya, program berkenaan bertujuan untuk memperkasakan dan menggalakkan penyertaan golongan muda dalam bidang keusahawanan.
“Kementerian saya telah menganjurkan program ini termasuk di Miri iaitu dengan 365 penyertaan, Sibu (500) penyertaan, Bintulu (444) penyertaan, Limbang (344) penyertaan, dan Sri Aman (235) penyertaan,” katanya bagi menjawab soalan dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Dato Ibrahim Baki berhubung penyertaan anak muda menerusi program Persediaan Usahawan Muda (YES), dan Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) pada Persidangan Hari Ketiga Mesyuarat Ketiga Bagi Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-19, hari ini.
Dr Ripin berkata menerusi progam tersebut, golongan belia bukan sahaja dapat meningkatkan kemahiran dalam pengurusan perniagaan, malah mereka juga boleh mempelajari garis panduan dari sudut pendaftaran perniagaan, lesen perniagaan dan bantuan kewangan dari agensi kerajaan termasuk Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED), Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad.
Sementara itu berhubung, Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) pula, Dr Ripin berkata, seramai 20,837 belia telah menerima manfaat melalui program tersebut yang dianjurkan di TEGAS Digital Village, dan Hab Inovasi Digital (TEGAS). – TVS