KUCHING, 23 Nov: Sarawak optimis untuk mecapai sasaran menjadi pengeksport makanan pada tahun 2030, kata Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail.
Untuk merealisasikan matlamat itu katanya, Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MFICORD) telah mengambil beberapa pendekatan termasuk memberi fokus kepada pengeluaran produk agromakanan bernilai tinggi dan berskala komersial.
“Bidang pertanian telah menjadi antara fokus utama dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang bermatlamat untuk menjadikan Sarawak sebagai pegeksport makanan menjelang tahun 2030,
“Antara lain kementerian saya turut meningkatkan penglibatan sektor swasta di bawah model perniagaan Public-Private and Community Partnership (PPCP), meningkatkan penyelidikan pembangunan dan inovasi, penggunaan teknologi moden dan digital sepanjang rantaian pengeluaran dan membangun serta menaiktaraf infrastruktur pertanian dan mengembangkan kawasan pengeluaran agromakanan,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Rolland Duat Jubin pada Persidangan Hari Ketiga Mesyuarat Ketiga Bagi Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-19, hari ini.
Untuk rekod, bagi tahun 2017, jumlah eksport adalah RM1.02 bilion berbanding import RM4.61 bilion mengakibatkan defisit sebanyak RM3.59 bilion. Manakala, pada tahun 2021, jumlah eksport adalah RM1.11 bilion berbanding import RM5.77 bilion menjadikan defisit RM4.66 bilion.
“Ini bermakna peningkatan defisit dalam tempoh lima tahun adalah sebanyak 29.8 peratus,” kata Dr Abdul Rahman.
Sehubungan itu, DR Abdul Rahman berkata, terdapat tiga jenis pertanian yang boleh dibangunkan secara berskala besar di Meluan.
“Bagi mengembangkan industri pertanian di Meluan, kementerian saya akan mengenalpasti sektor swasta yang berpotensi untuk menerajui pembangunan industri agromakanan melalui Public-Private and Community Partnership (PPCP). Antara tanaman agromakanan yang berpotensi dibangunkan di DUN Meluan secara komersial dan berskala besar adalah seperti durian, nanas, dan pisang,” katanya. -TVS