Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh. Foto: TVS

DUN Sarawak: RUU Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak diluluskan

ByAkma Salleh

KUCHING, 23 Nov: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (STIDC) (Pindaan) 2022.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata pindaan berkenaan bagi membolehkan peruntukan baharu yang bertujuan meningkatkan nilai eksport kayu negeri kepada RM8 bilion menjelang 2030.

Pindaan itu juga membolehkan STIDC mengawal selia sepenuhnya industri perkayuan di Sarawak termasuk penubuhan dan pengendalian kilang papan yang sebelum ini dikawal selia di bawah Ordinan Hutan 2015 [Cap 71].

Jelas Len lagi, pindaan itu turut akan memperkukuhkan usaha menambah baik industri hiliran selaras dengan fungsi perbadanan itu, iaitu menerajui pembangunan industri perkayuan di Sarawak.

“Peralihan kuasa daripada Pengarah Jabatan Hutan kepada Pengurus Besar STIDC adalah perkara yang betul dan ini membolehkan STIDC mempertingkatkan lagi penyelarasan dan keberkesanan pembangunan industri perkayuan khususnya industri hiliran, apatah lagi penekanan keadaan semasa terhadap produk kayu bernilai tambah tinggi,” katanya ketika membentangkan RUU itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini, hari ini.

Len berkata lagi, lesen industri perkayuan akan menjadi lesen tunggal yang dikeluarkan oleh STIDC untuk aktiviti industri perkayuan termasuk penubuhan, pembinaan dan pengendalian kilang papan.

RUU Perbadanan Kemajuan Industri Kayu diluluskan

“Ini bertujuan untuk menyempadankan dengan jelas peranan, tugas dan tanggungjawab antara STIDC, Jabatan Hutan dan Sarawak Forestry Corporation (SFC) sekali gus memperkemas fungsi ketiga-tiga agensi di bawah kementerian ini,” katanya.

Pindaan ini juga adalah selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 Negeri 2030 (PCDS 2030) mengenai kemakmuran ekonomi, kelestarian alam sekitar, keterangkuman sosial, inovasi digital dan ekonomi hijau.

Ini kerana di bawah PCDS 2030, sektor perhutanan merupakan salah satu sektor ekonomi yang dikenal pasti bagi mencapai aspirasi Sarawak sebagai sebuah negeri maju. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan