KUCHING, 23 Nov: Sarawak perlu membuka peluang kepada pemain industri lain untuk mengambil bahagian dalam pembuatan dan pembekalan simen.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin berkata, harga simen yang terlalu tinggi adalah antara punca utama harga rumah di Sarawak meningkat dan tidak mampu dimiliki.
“Ini adalah masa terbaik untuk membuka Sarawak kepada pemain industri ini bagi memastikan bekalan simen yang konsisten dan kapasiti yang mencukupi untuk memenuhi permintaan Sarawak yang semakin meningkat ekoran aktiviti pembinaan yang semakin rancak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perbahasannya pada Persidangan Hari Ketiga Mesyuarat Ketiga Bagi Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 hari ini.
Perkara ini katanya, akan mewujudkan persaingan yang sihat di antara pembekal simen dan seterusnya menghasilkan harga simen yang kompetitif.
Dalam Belanjawan Sarawak 2023, RM52 Juta telah diperuntukkan untuk pelaksanaan 21 projek rumah mampu milik Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC).
Oleh itu, Wilfred berharap agar Menteri Perumahan mempertimbangkan pelaksanaan skim perumahan kos rendah dan skim rumah mampu milik yang diintegrasikan dengan kemudahan rekreasi di kawasan DUN Kota Sentosa.
Berdasarkan data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) oleh Unit Perancangan Ekonomi di bawah Pejabat Premier Sarawak, harga rumah di Sarawak adalah lebih tinggi daripada kebanyakan negeri lain di Malaysia.
Harga purata rumah yang dijual di Sarawak pada 2021 ialah RM484,592.
Mengikut piawaian yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Bank Dunia, rumah di Sarawak amat tidak mampu dimiliki. -TVS