KUCHING, 23 Nov: Cadangan belanjawan Sarawak 2023 menekankan aspek penjanaan pendapatan negeri Sarawak melalui sumber-sumber baharu royalti air, pelaburan berhemah dan sumber asli Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, bajet tersebut tidak membebankan rakyat, malah memupuk pembangunan industri-industri di Sarawak.
“Kita harus memahami bahawa belanjawan ini akan menjadi asas kepada masa depan Sarawak.
“Dengan adanya Dana Kekayaan Berdaulat Sarawak yang baharu sahaja diluluskan semalam, saya anggarkan Sarawak akan menjadi lebih bebas dari segi kewangan di masa hadapan,”
Beliau berkata demikian ketika perbahasan atas bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Perbekalan (2023) pada hari ketiga persidangan DUN Sarawak.
Dalam pada itu, Johnny juga menzahirkan sokongan beliau terhadap cadangan belanjawan tersebut kerana ia menekankan Program Pembaharuan Bandar di mana rumah mampu milik akan disediakan.
“Sehubungan dengan itu, saya ingin menyuarakan kehendak rakyat di kawasan Tanjung Batu ini yang ingin memiliki rumah persendirian kerana di Bintulu, tidak banyak rumah mampu milik disediakan,” tambah Johnny lagi – TVS.