KUCHING, 22 Nov: Keadaan politik negara yang tiada Perdana Menteri dikhuatiri menjejaskan pasaran ekonomi negara.
Perkara ini diakui Felow Kanan Majlis Profesor Negara, Dato Dr Jeniri Amir yang menyatakan pasaran Bursa Malaysia direkodkan menjunam kepada sekitar 17 peratus.
“Yang pastinya, kita tidak boleh menunggu lama kerana jika lama kita menunggu, pasaran Bursa Malaysia dijangka akan terus menjunam.
“Sekarang ini, kita melihat pasaran Bursa Malaysia telah jatuh menjunam sehingga sekitar 17 peratus,” katanya ketika ditemui dalam program bual bicara Malaysia Decides di sini semalam.
Pada masa yang sama, Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Samarahan Ivy Jugah berkata, konflik pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) boleh mendatangkan kesan buruk yang berpanjangan.
Menurutnya, salah satu kesan yang berpanjangan itu adalah hilang kepercayaan kepada sistem demokrasi berparlimen yang kini diamalkan oleh Malaysia sejak merdeka lagi.
“Rata-rata pengundi baru ini datang daripada golongan belia di mana mereka bersemangat untuk turun mengundi, namun persepsi mereka sudah berbeza kerana konflik politik yang kini sedang berlaku.
“Kesan yang lain adalah pengundi kecewa kerana konflik ini berpanjangan dan belum lagi menemui garisan penamat walaupun seusainya PRU-15,” katanya.
Ivy juga menegaskan bahawa berkemunginkan besar pada Pilihan Raya Umum yang akan datang akan menjejaskan peratusan keluar mengundi kerana bimbang konflik yang kini berlaku akan berlaku sekali lagi pada masa yang akan datang.
Terdahulu, parlimen Malaysia disahkan tergantung kerana tiada mana-mana parti mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan yang baharu.
Sehingga kini, Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) mendakwa mereka masing-masing mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan yang baharu.
Pada Isnin, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan titah perkenan untuk melanjutkan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia Ke-10 sehingga hari ini, jam 2 petang. – TVS