Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin. Foto: Luqman Mohammad (TVS)

PN tolak cadangan Istana Negara bentuk kerajaan dengan PH – Muhyiddin

ByLuqman Muhammad

KUALA LUMPUR, 22 Nov: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, gabungan itu tidak bersetuju dengan cadangan untuk membentuk Kerajaan Persekutuan bersama Pakatan Harapan (PH).

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, perkara itu diusulkan kepada beliau ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara petang tadi.

Kata Muhyiddin, Seri Paduka mencadangkan perkara berkenaan namun pendirian PN jelas iaitu menolak kemungkinan itu.

“Kami di PN telah berbincang sejak awal lagi yang tidak akan bekerjasama dengan PH. Itu pendirian parti kita, atas tujuan apa sekalipun kami tidak akan pernah bersetuju.

“Saya juga telah menandatangani surat untuk tidak bersetuju,” katanya pada sidang media di kediamannya di sini lewat petang tadi.

Terdahulu, Muhyiddin bersama Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dititahkan menghadap Seri Paduka susulan kedua – dua gabungan tidak memiliki majoriti untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

Muhyiddin bagaimanapun meninggalkan Istana Negara lebih awal berbanding Anwar.

Sementara itu, Muhyiddin turut memberitahu, Surat Akuan Berkanun (SD) yang dihantar ke Istana Negara secara dalam talian bagi membuktikan beliau telah menerima sokongan mencukupi dari Ahli Parlimen didakwa tidak lengkap.

“Kami telah menghantar menerusi emel yang mana surat berkenaan menyatakan bahawa PH mempunyai jumlah sokongan melebihi 112.

“Atas sebab itu, sewajarnya kami boleh membentuk kerajaan. Ketika saya menghadap tadi, dimaklumkan maklumat (surat akuan berkanun) tidak lengkap,” ujarnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan