Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani. Foto: Bernama

Jangan timbulkan situasi ancam keselamatan, ketenteraman awam di media sosial

ByBernama

KUALA LUMPUR, 22 Nov: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi peringatan kepada masyarakat agar tidak menimbulkan situasi atau sebarang provokasi yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam melalui media sosial.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, ini berikutan PDRM mengesan tindakan pengguna media sosial memuat naik kandungan yang menyentuh sentimen perkauman atau keagamaan dan menghina institusi diraja susulan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) serta pembentukan kerajaan.

“PDRM memberi peringatan dan penegasan kepada pengguna media sosial agar mengekang diri daripada menyalahgunakan platform tersebut untuk menyebar kandungan bersifat provokasi yang boleh mengakibatkan kegusaran awam.

“Tindakan tegas di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan serta Kanun Keseksaan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menimbulkan situasi mengancam keselamatan dan ketenteraman awam,” menurutnya dalam kenyataan malam tadi.

Sabtu lepas, keputusan PRU15 menyaksikan Pakatan Harapan memperoleh 82 kerusi Parlimen diikuti Perikatan Nasional (73), Barisan Nasional (30), Gabungan Parti Sarawak (22), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) serta Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu kerusi.

Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan ialah 112 kerusi namun ketika ini berlaku situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti atau gabungan politik mendapat majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan