KUCHING, 22 Nov: Kerajaan Sarawak meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Aktiviti-Aktiviti Kerajaan Elektronik Sarawak 2022 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Julaihi Narawi berkata, dengan adanya RUU baharu ini, kerajaan sedang menuju ke arah mencapai aspirasi dalam menyediakan perkhidmatan awam digital yang merangkumi keseluruhan negeri Sarawak.
Katanya, ia juga selaras dengan aspirasi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam usaha memastikan masa depan Sarawak sebagai ekonomi dan masyarakat digital yang moden dan terkemuka menjelang 2030.
“Bagaimanapun, di bawah rangka kerja berkanun sedia ada, tidak semua perkhidmatan kerajaan boleh disampaikan secara dalam talian.
“Sebagai contoh, tandatangan dalam bentuk bertulis, dokumen untuk diserahkan dalam salinan cetak, dokumen diserahkan secara peribadi atau melalui pos berdaftar dan sebagainya,” katanya ketika membentangkan RUU itu.
Namun, Julaihi berkata, penerimaan dan penggunaan teknologi digital mungkin dihadkan disebabkan oleh undang-undang keperluan di bawah undang-undang negeri ini.
“Oleh itu, untuk membolehkan pelaksanaan kerajaan digital, undang-undang negeri kita perlu dipinda untuk menjadi ‘e-enabled’.
“Walau bagaimanapun, adalah tidak praktikal untuk meminda setiap undang-undang negeri,” ujarnya. -TVS