KUCHING, 22 Nov: Cadangan permit kerja lima tahun untuk ekspatriat telah dilaksanakan melalui pertimbangan Jawatankuasa Penyetempatan, kata Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala.
Beliau berkata, setiap permohonan akan diberi pertimbangan berdasarkan satu kriteria, iaitu keutamaan diberikan kepada mereka yang boleh menyumbang kepada pembangunan dan ekonomi Sarawak.
“Permit kerja ini khusus untuk pakar profesional dan teknikal yang bekerja dalam sektor strategik seperti tenaga dan industri digital di Sarawak,” katanya pada sesi soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba Kelalan, Baru Bian mengenai status cadangan itu, yang sebelum ini diumumkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2022 pada Jun lalu.
Gerawat berkata, kriteria yang ditetapkan untuk pakar profesional dan teknikal termasuk mempunyai kepakaran dan kelayakan akademik yang diiktiraf.
“Pemohon juga perlu mempunyai pengalaman kerja berkaitan dalam bidang berkaitan, mesti mempunyai kontrak kerja tidak kurang lima tahun, dan gaji pokok tidak kurang RM3,000.
“Permohonan untuk menggaji golongan ini hendaklah dikemukakan ke pejabat Jabatan Imigresen Negeri berhampiran untuk diproses dan seterusnya dibentangkan kepada Jawatankuasa Penyetempatan untuk pertimbangan dan keputusan,” katanya.
Pada IDECS 2022, Abang Johari berkata, permit kerja lima tahun itu hanya untuk profesional khususnya dalam sektor strategik.
Beliau berkata, ia akan berlangsung sepanjang lima tahun tanpa perlu memperbaharui setiap tahun. – TVS