KUCHING, 22 Nov: Sarawak akan memperuntukkan sejumlah RM6.1 juta untuk pembangunan belia dan program sukan massa tahun hadapan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sukan, seni dan budaya adalah penting kerana ia mencerminkan identiti diri seseorang, menyatukan rakyat, dan menghasilkan saluran untuk ekspresi diri dan kreativiti.
“Di Sarawak, belia mewakili 1.2 juta atau 43 peratus daripada populasi kita. Mereka adalah pemimpin masa depan kita yang akan mewarisi budaya kita.
“Oleh itu, kami akan terus menekankan promosi dan pemuliharaan budaya dan kesenian kami sebagai sebahagian daripada kekayaan warisan kami.
“Inisiatif kami untuk membangunkan bakat belia dalam seni dan budaya, khususnya dalam program muzik, filem, teater dan inovasi akan dipergiatkan dengan menubuhkan Tabung Industri Kreatif Belia Sarawak,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan (2023), 2022 di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.
Tambahnya, dengan peruntukan RM9 juta telah membolehkan belia menyertai program antarabangsa, seperti Kejohanan Seni Persembahan Dunia, serta menceburi kandungan kreatif digital.
“Oleh itu, kita akan terus menggalakan golongan belia kita sebagai tenaga yang produktif dalam masyarakat kita.
“Kita akan membangunkan mereka sebagai usahawan dengan menyediakan latihan dan bantuan kewangan, pada 2023, sejumlah RM2 juta akan diperuntukkan untuk pelaksanaan pelbagai aktiviti di bawah Pembangunan Usahawan Belia,” katanya.
Sementara itu, menyentuh mengenai pembangunan dan menaik taraf kemudahan sukan, beliau berkata, Belanjawan Negeri memperuntukkan RM47 juta untuk pelbagai kemudahan sukan termasuk menaik taraf dan membaik pulih kemudahan sedia ada.
Peruntukan itu akan memanfaatkan kemudahan sukan di Petra Jaya; Pusat Latihan dan Pertandingan Wushu, Petra Jaya, Kompleks Sukan Sebauh, Bintulu, Kompleks Sukan Mini Selangor dan menaik taraf Stadium Balingian.
Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan menyediakan RM41 juta kepada Perbadanan Sukan Sarawak dan RM17 juta kepada Majlis Sukan Negeri Sarawak untuk membiayai operasi mereka.
“Melalui sukan, kita dapat membangunkan budaya disiplin diri dalam kalangan belia dan mengekalkan kecergasan fizikal dan mental, Sarawak telah membuktikan bahawa misi kita untuk melahirkan atlet bertaraf dunia bukan sekadar ungkapan. Ini ditunjukkan oleh pencapaian atlet Sarawak mewakili Malaysia di Sukan Olimpik Tokyo dan Sukan Paralimpik 2021.
“Selaras dengan aspirasi kami untuk menjadikan Sarawak sebagai kuasa besar sukan negara, kami sudah mempunyai tiga atlet Olimpik, dan menjelang tahun 2030, kami menyasarkan untuk melahirkan lapan atlet Olimpik,” katanya lagi. – TVS